PEMILIHAN UMNO 2008: Siapa Paling Layak?

Disember 2008…. Satu bulan yang cukup dinantikan oleh orang-orang politik khususnya ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO. Disember ini, 7 bulan lagi menjelangnya perhimpunan UMNO, bakal menyaksikan pemilihan di peringkat tertinggi UMNO, bakal menentukan untung nasib pemimpin-pemimpin UMNO, dalam politik tanahair. Hakikatnya, luka parah yang terguris di hati ahli-ahli UMNO masih belum terubat akibat `kekalahan BN’ dalam PRU yang lalu, namun perjuangan harus diteruskan. Inilah politik, politik tidak mengenal lawan dan kawan….

Politik tetap politik.

Bagi ahli-ahli fikir Yunani, manusia itu semulajadi haiwan politik, dan semua jenis perhubungan manusia dalam masyakat bersifat politikal. Namun bari Aristotle, ilmu politik itu adalah ibu kepada segala ilmu. Jika dilihat daripada satu segi, politik sememangnya boleh merangkumi kesemua aktiviti manusia. Apabila politik dilihat sebagai proses berhubung sesama manusia yang melibatkan kuasa, semua individu dalam masyakat akan bersifat politikal…. Inilah realiti politik. Pengertian am dan pengertian khusus bidang ilmu sains politik. Berapa ramai ahli politik hari ini memahami hakikat dan pengertian politik sebenarnya. Bila politik ini menjadi begitu penting sehingga orang sanggup buat apa sahaja demi untuk politik.

Mungkin orang politik melihat teori politik ini hanya membuang masa, hanya pandai berteori, malah perasaan `takut kepada teori’ telah melekat dan ditanam dalam hati orang-orang politik kita.

Hari ini, di mana-mana sahaja orang akan bercakap mengenai politik negara. Tumbangnya empat kerajaan BN negeri, selain satu negeri yang cukup kebal buat BN untuk ’menakluknya’. Tak cukup dengan itu, kini beralih pula pada pemilihan UMNO di semua peringkat bermula Julai ini. Bermula di peringkat cawangan, Bahagian dan paling ditunggu-tunggu, Disember ini yang bakal melihat satu lagi tsunami buat UMNO.

Hakikatnya, apa yang rakyat nak dari UMNO. Adakah rakyat dan masyarakat sudah bencikan UMNO, sudah tidak perlukan UMNO lagi. Adakah tiba masanya untuk UMNO dibubarkan, UMNO sudah tidak relevan lagi kepada orang Melayu. Hakikatnya.... Melayu masih sayangkan UMNO. Apa yang rakyat mahukan dari UMNO, ialah UMNO perlu kembali kepada asas perjuangan UMNO. Perjuangan UMNO adalah untuk rakyat, namun kalau perjuangan UMNO sudah jauh terpesong dari perjuangan rakyat, ke mana lagi arah mereka untuk mengadu nasib.

Isu minyak naik, harga barangan naik- dilupakan buat seketika. Apa yang diperkatakan sekarang ialah selama manakah Pak Lah akan bertahan di kerusi Presiden, takut sangatkah Najib sampai takut untuk mencabar Pak Lah sebagai Presiden, kenapa Muhyiddin sejak akhir-akhir ini nampak ’berapi’, ke mana Hisham selepas meninggalkan kerusi Ketua Pemuda, Hisham pergi siapa ganti kenapa KJ menyepi ?...... Tidak cukup dengan itu, bahang di sayap Wanita dan Puteri tidak cukup hebatnya, cuma masing-masing mendiamkan diri untuk bercakap tentang hasrat masing-masing.

Lupakan dulu Wanita, lupakan dulu Puteri, hal-hal kaum hawa ini, biar mereka sahaja yang uruskan.

Perebutan dalam UMNO

Mungkinkah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan kekal tanpa pertandingan Disember ini? Pada pandangan peribadi aku, agak sukar untuk melihat keadaan ini, namun dalam masa yang masa kalau adapun pertandingan untuk dua jawatan ini, aku harap agar peristiwa hitam UMNO diharamkan 1988, tidak berulang kembali.

Sekiranya melihat situasi sekarang, Tengku Razaleigh (Ku Li) dilihat dan sudah mengumumkan untuk mencabar Pak Lah sebagai Presiden. Siapa Ku Li? Ku Li ialah Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan. Hebat benarkah Ku Li untuk menjadi Presiden dan apakah sumbangan Ku Li selama ini yang melayakkan beliau bertanding Presiden UMNO. Malah ramai juga yang melihat Ku Li sebagai ’pengkhianat’ yang menyebabkan UMNO diharamkan pada 1988 dan Ku Li jugalah yang menyebabkan Kelantan `tergadai’ kepada PAS sehingga sekarang.

Namun tidak ramai yang mahu atau terlupa jasa Ku Li terhadap kejayaan pembinaan bangunan UMNO, atau kini lebih dikenali sebagai PWTC.... mercu tanda kejayaan UMNO selepas 39 tahun penubuhannya, yang dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed pada 26 September 1985.

Kini, ’pengkhianat’ ini kembali untuk menawarkan diri selepas kali terakhir bertanding jawatan Presiden UMNO, 20 tahun lalu dengan membawa misi dan visi untuk mempukuhkan semula UMNO selepas tercalar pada PRU12 yang lalu. Mampukah Ku Li .... ?

Dalam masa yang sama, bagaimana kedudukan Najib. Pak Lah sudah umumkan pengantinya ialah Datuk Seri Najib Tun Razak. Adakah Datuk Najib akan gigit jari sekiranya Ku Li berjaya dalam misinya nanti. Adakah Najib akan terlepas dan selesa di kerusi Timbalan Presiden. Bagaimana dengan Muhyiddin? Adakah selepas `menunjukkan taring’ sejak kebelakangan ini, Muhyiddin hanya akan mempertahankan kerusi Naib Presiden yang dimenanginya pada 2004 lalu.

Naib Presiden- Siapa yang harus dipilih?

Beralih pula kepada kerusi Naib Presiden. Kalau dicongak di atas kertas, dua nama sudah tercatit di kerusi Naib Presiden iaitu DS Ali Rustam dan TS Muhyiddin Yassin. Hanya ada satu kekosongan di sini selepas TS Mohd Isa Samad digantung keahliannya dalam UMNO. Hakikatnya, bukan satu yang kosong tetapi tiga yang bakal diisi Disember ini. Jika Muhyiddin mengintai kerusi di atas, hanya Ali Rustam yang akan mempertahankan kerusinya, sedangkan di luar banyak ’punggung’ yang sudah bersedia untuk duduk di kerusi Naib Presiden ini.

Hisham yang akan meninggalkan kerusi Ketua Pemuda, masih belum mengumumkan ke mana arah beliau selepas ini. Namun beliau sudah mendapat sokongan dari Pemuda UMNO Perak dan Pemuda UMNO Kelantan untuk bertanding kerusi Naib Presiden. Malah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habsee sendiri sudah mengumumkan secara terbuka akan mencalonkan Hisham ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO bahagian Cheras tahun lepas, yang mana ketika itu, Hisham yang merasmikan perhimpunan mereka.

Selain Hisham, 2 orang lagi bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia sudah menawarkan diri untuk bertanding, TS Rahim Tamby Chik dan Datuk Zahid Hamidi. Mungkinkah kerusi Naib Presiden tahun ini bakal diduduki oleh bekas-bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Selain 2 orang bekas dan seorang bakal bekas Ketua Pemuda UMNO ini, hakikatnya ramai lagi yang sudah menawarkan ’punggungnya’ untuk duduk di kerusi Naib ini. Nama-nama seperti DS Khaled Norden, DS Musa Aman, Datuk Mohd Zin Mohamed dan Datuk Shahril Samad juga mahu mencuba nasib. Sekiranya ini terjadi, cukup ruginya orang Johor apabila 3 nama besar dalam kepimpinan UMNO, itupun kalau Muhyiddin naik ke atas, kalau tak 4 tokoh bakal berantap dan beradu sesama sendiri untuk jawatan Naib Presiden.

Tinjauan rambang dan hasil perbualan di kedai-kedai kopi bertaraf `lima bintang’ – (Starbuck, Coffee Bean dan Riverside PWTC) – ramai yang mahukan pemilihan Naib Presiden kali ini, hasil penilaian ahli-ahli dengan penuh kematangan berdasarkan beberapa faktor yang dialami oleh UMNO pada hari ini. Ada pendapat mengatakan, pemilihan Disember ini, ahli-ahli UMNO terutamanya perwakilan akan mengambil kira personaliti dan ketokohan calon-calon. Apatah lagi UMNO hari ini sedang berada di persimpangan untuk benar-benar melahirkan tokoh-tokoh yang berwibawa dan dapat meneruskan kepimpinan UMNO di alaf baru, di hari mendung menanti hujan buat UMNO dan Barisan Nasional.

”UMNO memerlukan tokoh-tokoh yang mampu menyuarakan hasrat dan citarasa ahli-ahli yang baru. UMNO tidak memerlukan pemimpin yang yes man, yes bos. Berdasarkan faktor-faktor ini, pemilihan kali ini akan berpegang pada siapa yang benar-benar dianggap tokoh yang berwibawa dan tulen semangatnya dalam UMNO”- pandangan seorang sahabat yang sudah lama memerhatikan gelagat UMNO tetapi baru memohon menjadi ahli selepas PRU 12 yang lalu.

Hakikatnya, dalam arus politik sekarang, UMNO perlu barisan kepimpinan yang matang, bersih, berwibawa, berketrampilan dan berani bersuara bagi mengembalikan semangat perjuangan dan memantapkan barisan kepimpinan UMNO. Siapakah yang memenuhi ciri-ciri itu?....
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

4 Komen

  1. Anonymous
    12:43 AM

    Sumber: www.beritakmu.net

    Kenyataan Exco Pemuda Malaysia Kamaruzaman Kamdias:

    Pemuda UMNO perlu berdiri di alam nyata dalam soal memilih bakal Ketua Pemuda UMNO. Sudah pasti criteria pemilihan Ketua Pemuda seharusnya mengambil kira senario Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12), yang menuntut sesuatu harus dilakukan bagi memulihkan sokongan kepada parti termasuk mengambil kira isyarat yang digambarkan akar umbi.

    Kebijaksanaan Pemuda UMNO didalam memilih bakal pengganti harus diterjemahkan kepada pengukuhan semula parti dan bukan di atas dasar kepentingan kelompok tertentu.

    Pernyataan yang dikeluarkan Pemuda UMNO Negeri haruslah mengambarkan kehendak sebenar Bahagian dan Cawangan yang mereka wakili. Kaedah ‘penyaluran keputusan’ dari atas untuk diendorse sudah tidak sesuai lagi berdasarkan scenario PRU 12 yang lalu.

    Kamaruzaman Kamdias
    Exco Pemuda UMNO Malaysia

    10 April 2008

  2. "UMNO memerlukan tokoh-tokoh yang mampu menyuarakan hasrat dan citarasa ahli-ahli yang baru"

    kenyataan tersebut akan hilang apabila tangan dihulurkan SAMPUL!

  3. Anonymous
    9:12 PM

    kalau sayangkan parti, kalau sayangkan kesinambungan perjuangan sebuah bangsa yang bermaruah, lupakan soal dulu soal SAMPUL. Saudara Gaban jangan terlalu taksub dengan SAMPUL kerana ianya tidak boleh membawa kita ke syurga.

    Sayangilah parti sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri. Hormatilah pemimpin kita sebagaimana kita menghormati kedua ibubapa kita. Sayangilah ahli-ahli parti sebagaimana kita menyayangi ahli keluarga dan adik-beradik kita.

    Janganlah bunuh ibu-bapa, keluarga dan adik-beradik kita.

  4. UMNO harus mengikis imej 'parti eksekutif' yang mula dikaitkan dengan parti itu, sebaliknya kembali menjadi 'parti kampung' dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat bagi meraih semula sokongan setiap lapisan rakyat.

    Inilah hakikat sebenarnya namun dalam masa yang sama, faktor-faktor lain tu juga tidak harus diabaikan.

    Pemimpin UMNO perlu menghayati semula semangat keperwiraan iaitu dengan lantang dan bersungguh-sungguh dalam mendekati serta menyelesaikan setiap masalah rakyat agar mereka menjadi pemimpin yang lebih dihormati.

    Memang sudah ada kecenderungan dalam kalangan rakyat yang mengaitkan UMNO dengan tempat meraih kuasa dan kekayaan, sehingga parti itu semakin jauh daripada masyarakat.

    Ini realiti yang perlu kita akui, sudah ada persepsi-persepsi begini yang mengaitkan UMNO dengan kemegahan, keangkuhan dan kekayaan.

    Ini bukan imej UMNO yang sebenar. Dalam keadaan kita gah tampil dengan gaya mewah, masalah dan rintihan orang di bawah pula tidak selesai-selesai.

Post a Comment