
Pemuda UMNO hari ini menyelar sikap dan tindak tanduk kerajaan Selangor yang sanggup melibatkan soal politik di dalam institusi pendidikan di negeri berkenaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan masa depan pelajar.
Pengerusi Biro Pelajarannya, Sdr Gasing Saling berkata agenda pendidikan tidak sepatutnya dilibatkan dengan soal politik kerana ianya langsung tidak menggambarkan profesional dan kematangan berpolitik.
Menurut beliau soal pendidikan perlu diutamakan dan sepatutnya dijadikan sebagai salah satu agenda penting kerajaan negeri untuk melahirkan pelajar cemerlang sekaligus menjadikan mereka sebagai pemimpin pelapis pada masa akan datang.
“Inilah akibatnya apabila mereka yang menguruskan kerajaan negeri lebih mengutamakan politik…Seingat saya daripada awal lagi pelbagai masalah dalam pendidikan di negeri ini. Isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), isu yang sama di dalam Yayasan Selangor dan macam-macam lagi.
“Kita sesungguhnya kesal dan sedih kerana mereka tidak mengotakan apa yang dikata kerana jelas setelah mendapat kuasa, mereka begitu rakus menggunakan kuasa yang ada demi kepentingan kuasa dan sebagainya,” katanya.
Beliau mengulas peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr Rosti Saruwono dengan notis 24 jam dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran kerajaan PKR Selangor.
Gasing seterusnya menegaskan Dr Rosti seorang penjawat awam dan pendidik yang benar-benar amanah yang sanggup mengorbankan dirinya gara-gara tidak mahu menjadi seorang pengkhianat kepada intitusi pendidikan yang melahirkan kejayaan kepada anak-anak bangsa.
“Jika benarlah terdapatnya tekanan politik daripada pihak tertentu hingga menyebabkan Dr Rosti mengambil tindakan sedemikian rupa, saya anggap beliau sebagai pendidik yang benar-benar mempunyai jiwa yang ikhlas untuk anak-anak bangsanya.
“Selain itu, ianya amat jelas beliau mahukan agenda pendidikan negara tidak dibolosi oleh mana-mana pemikiran sempit yang hanya mengutamakan kepentingan parti dan diri sendiri,” katanya. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment