Masalah Dalaman BN Perlu Diselesaikan Segera- Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan parti komponen Barisan Nasional (BN) segera menyelesaikan masalah dalaman parti masing-masing dan tidak menunggu sehingga tiba Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Bimbang dengan pergeseran dalaman parti, Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau telah mengadakan proses pertemuan dengan pemimpin parti komponen bagi membincangkan soal persiapan parti masing-masing menghadapi PRU nanti.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau telah memanggil beberapa pemimpin bahagian dan memaklumkan kedudukan bahagian mereka seterusnya langkah yang perlu diambil untuk memperbaiki hubungan dan masalah sesama mereka.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas menghadiri majlis 'Penerangan Perdana Nurani Rakyat Sayangi Selangor bersama Timbalan Perdana Menteri' di sini hari ini.

Mengenai laporan penyelidikan oleh OSK Research yang meramal BN mempunyai peluang cerah memenangi PRU ke-13, Muhyiddin berkata walaupun berita itu menggembirakan namun mengingatkan ahli komponennya supaya tidak selesa dengan laporan itu.

"Maklumat yang diterima itu mungkin disampaikan oleh ahli-ahli kita berdasarkan kerja yang dibuat di bawah. Tetapi betul kita harus ada satu pihak lain yang boleh menilai kenyataan itu. Saya tidak mahu pertikai mungkin mereka ada asas-asas. Tetapi kami juga dalam parti tidak boleh hanya mengharapkan itu sahaja tanpa ada usaha kerja," katanya.

Katanya masih banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat benar-benar memahami kesungguhan dan keikhlasan BN untuk membantu mereka.

"Jangan kita rasa yakin atau rasa selesa, kita punya tugas yang masih mencabar...banyak tanggungjawab yang perlu kita perlu laksanakan tetapi yang paling utama ialah perpaduan dalam parti," katanya.

Muhyiddin berkata untuk mencapai kejayaan pada PRU ke-13 nanti, semua ahli parti komponen BN di semua peringkat perlu bersatu.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata lawatan sehari di Selangor jelas menampakkan kepercayaan rakyat negeri itu terhadap BN yang ternyata terpedaya dengan janji-janji manis Pakatan pada pilihan raya umum lalu.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment