Najib Umum Dana RM 1 Juta Untuk Kebajikan Anak Bekas Polis

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian peruntukan awal RM1 juta bagi meningkatkan kebajikan dan pendidikan anak-anak bekas polis.

Dana itu antara empat insentif baru yang diumumkan beliau bertujuan meningkatkan kebajikan warga bekas polis di negara ini.

Najib berkata dana sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan diserahkan kepada mana-mana yayasan bekas polis yang diputuskan oleh warga bekas polis sendiri.

Katanya kerajaan menyerahkan kepada yayasan yang diamanahkan untuk menentukan kepada siapa dana itu hendak diagihkan, kuantiti dan jumlahnya.

"Ini dana permulaan dan jika ada keperluan, kita sedia timbang untuk tambah pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Dengan Pesara dan Bekas Polis, di sini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan bekas-bekas Ketua Polis Negara termasuk Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Norian Mai.

Najib turut mengumumkan kesediaan kerajaan menimbang penambahan tempat kepada anak-anak bekas polis untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah sains.

Kerajaan juga, katanya, bersedia menimbang pemberian projek tertentu kepada koperasi polis bagi membantu melancarkan lagi pergerakan koperasi yang kini disifatkan "perlu dipulihkan".

Najib berkata satu unit khas akan diwujudkan sama ada di Kementerian Dalam Negeri atau Polis Diraja Malaysia untuk meneliti keperluan lain pesara polis termasuk daripada segi perumahan dan bidang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata konsep kepolisan perlu diubah dengan pasukan keselamatan itu perlu menjadi lebih terbuka, progresif dan demokratik sejajar dengan perkembangan semasa dunia.

"Cabaran kini semakin besar dengan era ini menuntut peningkatan nilai profesionalisme dan integriti supaya anggota keselamatan dapat mengulang kegemilangan polis di zaman darurat dahulu.

"Saya mahu lihat institusi kepolisan menyerlah dalam era baru dan menjadi institusi pelindung keamanan dan kestabilan negara," katanya.

Majlis bertemakan "Jasamu Dikenang, Baktimu Dijulang" itu menyaksikan kehadiran kira-kira 6,000 tetamu khususnya warga pesara polis dan keluarga mereka dari seluruh negara.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment