Perhimpunan Sejuta Umat Diharap Berlangsung Dalam Keadaan Aman – Jamil Khir


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta supaya penganjur Perhimpunan Sejuta Umat mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan perhimpunan itu berlangsung dalam suasana aman.

Beliau berkata pihak penganjur itu telah mendapat permit dan berharap mereka dapat mengawal peserta daripada melakukan perkara yang tidak diingini pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Saya tengok penganjur telah beri akujanji yang dia berbeza dengan semangat yang tidak boleh dikawal, maknanya ini untuk pertahankan agama Islam dan penyatuan umat.

“Jadi saya rasa suasana dan keadaan berbeza dengan perhimpunan berdasarkan sifat marah. Bila berhimpun dalam stadium juga dapat kurangkan masalah,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Perhimpunan Sejuta Umat anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dikenali sebagai Himpunan Pertubuhan-Pertubuhan Islam (HIMPUN) dianjurkan bagi ‘menghantar mesej’ kepada pelbagai pihak mengenai isu-isu memurtadkan umat Islam di negara ini.

Sementara itu, beliau menasihatkan Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri supaya membuat pemilihan imam mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Jamil Khir berkata pemilihan imam mengikut kriteria seperti kesihatan, pengalaman dan ilmu agama yang dimiliki perlu dibuat supaya imam dipilih dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat.

“Hal ehwal agama Islam di bawah negeri, bergantung kepada negeri untuk beri input semasa untuk melantik imam, Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) proses pembayaran elaun.

“Bila dia (majlis dan jabatan agama Islam negeri) cadangkan nama untuk dilantik (kepada Jakim) seolah-olah kita (Jakim) pertikaikan pula, jadi mekanismenya serah kepada negeri uruskan pelantikan ikut kriteria,” katanya.

Beliau berkata pemilihan itu tidak perlu terlalu tegas mengikut kriteria ditetapkan contohnya imam yang terlalu tua tetapi mempunyai pengalaman, ilmu agama tinggi dan amat dihormati masyarakat setempat masih boleh dipertimbangkan untuk dipilih menjadi imam.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment