Rakyat Selangor Semakin Sedar Kelemahan Kerajaan Pakatan- TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau sudah melihat "gelombang biru" di Selangor yang menunjukkan keinginan semula rakyat kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Gelombang itu sudah nampak berlaku di seluruh Selangor. Ada kesedaran baru kerana mereka tahu mereka sudah bagi peluang kepada pakatan selama tiga tahun, tapi banyak masalah berlaku," katanya, merujuk kepada kerajaan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS di Selangor.

Berucap pada majlis Sarapan Pagi 1Malaysia Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata ramai rakyat Selangor merungut tentang ketidakpekaan pimpinan kerajaan negeri dalam memahami naluri dan keinginan serta kebajikan mereka.

"Ramai rakyat Selangor termasuk peniaga berjumpa saya dan tanya bila pilihan raya... Mereka kata mereka tidak tahan lagi dengan (kerajaan) pakatan; susah mahu berniaga, susah mahu hidup. 'Bila pilihan raya saya mahu pangkah BN'. Itu kenyataan yang mereka buat," katanya.

Muhyiddin yang turun padang mendekati rakyat merentasi beberapa daerah di Selangor hari ini, berkata berbekalkan pengalaman lebih 50 tahun, BN diyakini mampu membawa Malaysia ke tahap pencapaian lebih tinggi selaras dengan aspirasi rakyat.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang rancak melaksanakan pelbagai pelan pembangunan bagi memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan selesa, aman dan sejahtera, sebagaimana ditekankan dalam Belanjawan 2012.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Selangor dilihat tidak mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat, seperti yang berlaku dalam isu pengurusan bekalan air di negeri berkenaan.

"Yang penting bukan soal kerajaan negeri nak berniaga dan mendapat keuntungan; yang penting ialah nasib rakyat kita di Selangor dan Wilayah

Persekutuan, hampir lima juta rakyat akan menanggung kesusahan nanti,” kata Muhyiddin pada acara yang dihadiri ribuan penduduk sekitar Dengkil dan Sepang itu.

Beliau menggesa parti komponen BN supaya terus membantu rakyat Selangor dan sekaligus memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM111,000 kepada 37 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan di kawasan Parlimen Sepang serta sumbangan Deepavali kepada 1,300 penduduk.

Peruntukan RM100,000 akan disediakan untuk membaik pulih bangunan sekolah SJKC Dengkil, katanya.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment