BNBBC Tampil Main Peranan Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia




Walaupun hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia nampak baik, namun beberapa insiden terkini termasuk tindakan rakyat negara jiran itu yang tidak menghormati lagu Negaraku semasa Sukan SEA ke-26 baru-baru ini sedikit sebanyak melukakan hati rakyat Malaysia.

Namun mengambil langkah agar masalah ini tidak berpanjangan, Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) turun padang untuk mendapatkan penjelasan dan terus mencari jalan penyelesaian dalam memperbaiki hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Tinbalan Pengerusinya, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, langkah turun padang dengan mengadakan pertemuan dengan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Marzuki Alie di Gedung Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta hari ini banyak memberi manfaat yang cukup besar kepada Delegasi BNBBC.

Menurut Bung Moktar, Marzuki banyak menjelaskan kepada anggota rombongan mengenai dasar dan pendirian kerajaan Indonesia berhubung isu-isu yang sering mencabar hubungan baik dua negara.

"Atas dasar mahu mencari kesepakatan dalam menyelesaikan masalah berbangkit, BNBBC tampil memainkan peranan. Dalam pertemuan ini, banyak perkara dan isu yang dibangkitkan, antaranya soal lapuk pendatang asing tanpa izin, tenaga kerja, soal sempadan kedua-dua buah Negara, soal perairan dan juga soal kebudayaan yang pernah menjejas hubungan baik antara kedua-dua buah Negara.

Justeru, saya dan anggota rombongan tampil untuk mendapat penjelasan dan memperbaiki hubungan dua hala selain menyampaikan mesej untuk merapatkan lagi hubungan Ahli Parlimen kedua-dua negara menerusi penganjuran pelbagai aktiviti pada masa depan," ujarnya yang juga merupakan Ketua Delegasi BNBBC ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Marzuki Alie berkata, dalam konteks globalisasi hari ini, tiada mana-mana individu yang dapat menyekat perkembangan budaya dan apa yang lebih penting, jangan sesekali ada pihak mudah melenting dan mencari salah pihak lain sebelum terlebih dahulu mengkaji sejarah bagaimana budaya itu berkembang.

“Masyarakat Indonesia tidak seharusnya berasa gusar dan bimbang seandainya budaya kesenian negara itu berkembang ke luar negara termasuk di Malaysia. Ini kerana pertukaran budaya adalah hal biasa di seluruh dunia malah budaya barat juga memasuki negara Indonesia.

"Sementara di Malaysia pula terdapat ramai masyarakat Indonesia di sana. Sudah tentu bila berlaku migrasi penduduk, budaya juga tentunya ikut berkembang," katanya kepada wartawan selepas menerima rombongan Majlis Ahli parlimen Barisan Nasional Parlimen Malaysia (BNBBC) di pejabatnya di sini hari ini ketika mengulas sikap segelintir pihak di Indonesia yang sering menuding jari ke arah Malaysia sehingga dilabel sebagai Maling (pencuri) khazanah negara itu.

Tambahnya, budaya demonstrasi yang sering dianjurkan sebagai menyatakan rasa tidak senang terhadap Malaysia bukanlah pendirian rasmi kerajaan Indonesia sebaliknya, penganjuran demonstrasi itu hanya mewakili segelintir rakyat Indonesia yang kurang jelas hubungan akrab antara dua negara itu.

Indonesia kini sedang menyuburkan amalan demokrasi dan sekali gus membenarkan amalan kebebasan bersuara diadakan. Sebagai negara demokrasi kita tidak boleh menghalang sesiapa saja untuk berdemonstrasi bahkan Presiden (Indonesia) juga sering berhadapan dengan demonstrasi.

Namun, kerajaan Indonesia tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara itu yang menganjurkan demonstrasi secara berlebih-lebihan seperti membaling najis ke bangunan Kedutaan Besar Malaysia di sini tahun lalu,” ujarnya lagi.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

Post a Comment