Kempen Anti Zina Selangor Retorik Semata-mata....

Pendedahan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat semalam bahawa seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan dari 2008 hingga 2010 adalah sesuatu yang membimbangkan.

Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badrudin berkata, apa yang lebih menyedihkan apabila Selangor mencatat angka kedua tertinggi iaitu seramai 18,983 orang.

“Secara puratanya, 26 orang anak luar nikah dilahirkan setiap hari di ‘Negeri Berkebajikan’ ini. Sungguh menyedihkan kerana di sebalik aktiviti penguatkuasaan Jabatan Agama Islam yang kerap dan pelbagai inisiatif lain, masalah ini terus merebak menjadi barah. Secara tidak langsung hal ini menunjukkan bahawa remaja Melayu dan Islam berada dalam kemelut masalah sosial yang semakin menakutkan.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mengakui masalah kewujudan anak tidak sah taraf di negeri ini adalah ”sangat besar”, walaupun beliau pada masa itu tidak mengetahu jumlah sebenar kerana ada kes kelahiran anak luar nikah ini tidak didaftarkan,” ujarnya mengulas pendedahan kes anak luar nikah yang tinggi yang berlaku di Selangor.

Tambahnya, menurut kajian Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, punca hubungan yang menyebabkan masalah ibu tanpa nikah adalah 92.5 peratus responden melakukan seks tanpa nikah dengan pasangan mereka secara sukarela. Sebanyak 25 peratus akibat perbuatan rogol atau perkosaan dan lima peratus tidak mendaftarkan perkahwinan (Harnida Paturungi, 2008).

Kepincangan yang berlaku kepada remaja masa kini menyebabkan Majlis Belia Selangor berasa bimbang mengenai nasib dan masa depan negara. di bawah kepemimpinan generasi muda ini kelak.

“Justeru, kami mempersoalkan keberkesanan kempen anti-zina yang dilancarkan oleh Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS). Jawatankuasa itu diwujudkan di Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor yang dipengerusikan oleh Dr. Halimah Ali.

Melihat pada perangkaan rasmi itu, kami mendesak supaya langkah yang lebih dinamik sebagaimana yang diperkenalkan oleh Islam perlu dilaksanakan lebih meluas dan kempen perlu dilakukan secara agresif, bukan sekadar menubuhkan jawatankuasa yang hanya sekadar nama tetapi tidak mempunyai peranan. MBS merasakan tidak cukup dengan hanya memberi risalah, atau meninjau kawasan lapang seperti di tasik, tepi pantai serta kompleks membeli belah dan lain-lain, GeMS perlu melaksanakan kempen-kempen yang lebih dinamik supaya rakyat tinggalkan aktiviti penzinaan ini,” tambahnya lagi.

Kerajaan negeri juga perlu memberhentikan operasi atau pemberian lesen kepada pengusaha hotel-hotel budget yang tumbuh seperti cendawan di Selangor kerana hotel seperti ini menjadi ‘port’ kepada remaja untuk melampiaskan nafsu seks mereka bersama pasangan masing-masing. Kami turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri bertindak tegas terhadap siber kafe haram kerana ramai anak muda khususnya pelajar sekolah melayari web porno dengan mudah di tempat sebegini.

Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memantau tempat-tempat hiburan dan rumah-rumah urut yang juga jumlahnya kian meningkat saban hari di negeri Selangor. Keperihatinan kerajaan negeri dan majlis Perbandaran dan Daerah perlu disegerakan bagi membendung aktiviti sosial yang bersifat ke arah negatif. Kerajaan negeri mungkin boleh mengikut langkah Melaka yang menubuhkan Sekolah Harapan untuk remaja hamil luar nikah yang memberi perlindungan kepada remaja hamil dan menangani gejala buang bayi.

“Pada masa yang sama, Majlis Belia Selangor menyifatkan usaha bagi menangani masalah ini tidak akan berkesan tanpa pembabitan daripada akar umbi iaitu semua anggota keluarga. Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak gadis mereka.

Tidak salah mengongkong anak-anak dalam hal-hal seperti ini. Remaja yang hidup jauh daripada keluarga dan tanpa bimbingan ibu bapa akan mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik akibat pengaruh rakan-rakan. Paling utama, terapkan pendidikan agama dan nilai murni kepada anak-anak kita,” ujarnya yang juga Pengerusi Belia 4B Negeri Selangor.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Sapa ikon kempen tersebut? YB bogel? hehehehe

Post a Comment