Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) menyifatkan Kerajaan Selangor hanya tahu menyalahkan pihak lain sebagai taktik menutup kelemahan mereka dalam pentadbiran negeri pada hari ini.
Menurut, taktik tersebut dilihat sering menjadi pilihan kerajaan negeri bagi mengelakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional termasuklah rakyat mempertikaikan janji-janji pilihan raya umum lalu yang masih gagal dilaksanakan kerajaan negeri sehingga hari ini.
"Kalau pakatan rakyat menuding jari kepada kami, empat jari akan kembali menuding kepada kamu semula. Hampir 3 tahun 7 bulan tapi janji tidak ditunaikan dan nanti nak pilihan raya akan berjanji lagi.
"Mana janji kerajaan negeri untuk memberi bantuan untuk suri rumah, mereka yang dapat masuk universiti, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak, tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.
"Banyak lagi kalau hendak saya sebutkan janji palsu pakatan rakyat ini yang tidak dilaksanakan," katanya ketika sesi membahaskan Bajet Selangor 2012 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Subahan berkata demikian ketika mencelah perbahasan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) yang dilihat lebih cenderung mencari kesalahan UMNO walaupun ia tidak mempunyai kaitan dalam perbahasan yang dibuat ADUN itu.
Pada masa yang sama, Subahan turut menasihatkan Weng San untuk lebih menghormati wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional dengan lebih memberi tumpuan untuk membahaskan perkara yang berfaedah untuk manfaat rakyat, bukan bermotifkan kepentingan politik.
"Saya mahu ADUN Kampung Tunku jangan sebut UMNO itu dan ini. Kalau hendak sebut, sebutlah BN kerana kami adalah wakil rakyat BN bukan UMNO.
"Kami pun tidak sebut pihak di sana dari DAP, PKR atau PAS sebab semua adalah pakatan rakyat. Saya harap perkara ini tidak diteruskan," tegasnya.
Sementara itu, Subahan ketika ditemui di luar dewan menyatakan Weng San sepatutnya mengajukan soalan mengenai isu penternakan babi moden kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selaku pemimpin kerajaan negeri bukannya Barisan Nasional.
"Saya hairan beliau cakap kita salah. Sepatutnya sekarang ini pakatan rakyat mentadbir Selangor, sepatutnya tanya kepada MB sekarang ini," katanya.
0 Komen