Krisis Dalaman, Urus Tadbir Caca Merba Buat PKR Makin Goyah Pertahan Selangor


Walaupun sentiasa menggambarkan parti mereka sebagai gah dan dominan, PKR sebenarnya adalah parti yang paling goyah dan gusar berbanding rakan-rakan sekutunya yang lain di dalam pakatan pembangkang untuk mempertahankan reputasi khususnya di negeri Selangor.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd Nazmi Rosli berkata atas dasar itulah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga Jun 2012.

Menurut beliau berbanding dengan negeri-negeri yang dikuasi oleh rakan sekutunya yang lain, tidak timbul syarat sedemikian rupa dan hanya sekadar menyatakan komitmen masing-masing untuk membubarkan serentak sesama mereka.

“Bukankah ini memberi bayangan kepada kita bahawa PKR sedang berdepan dengan ketidakyakinan mereka sendiri dan seolah-olah tidak konsisten berbanding sekutu mereka iaitu Pas dan DAP.

“Apa jua alasan yang diberikan itu sebenarnya adalah untuk menutup kegusaran mereka yang semakin hari semakin ditolak rakyat kerana gagal melunaskan segala tanggungjawab yang diamanahkan selain banyak masalah dalaman parti,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak akan dibubarkan sekalipun kerajaan Pusat bertindak membubarkan Parlimen pada Januari tahun depan untuk menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Kata Khalid, kerajaan negeri hanya akan membubarkan DUN selepas enam bulan dari tarikh pembubaran Parlimen bagi memastikan Bajet Selangor 2012 dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Mohd Nazmi seterusnya menambah PKR sebenarnya khuatir dan bimbang kawasan mereka akan kalah teruk berbanding dengan kawasan yang ditandingi oleh sekutu mereka yang lain.

Ini kerana katanya kepimpinan PKR telah pun sedar dan tahu selain masalah dalaman, tahap kepercayaan dan keyakinan umum kepada Datuk Seri Anwar merupakan faktor yang boleh mendorong pengundi menolak mereka.

“Sebab itu saya lihat Tan Sri Khalid mengeluarkan syarat berkenaan kerana beliau pun tahu soal ini dan berharap rakyat dapat membuka mata dan tidak tertipu dengan gaya serta lakonan politik PKR dan pembangkang hari ini,” ujarnya. - Media-UMNO

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment