Mahasiswa Berpolitik Akan Hilang Tumpuan Belajar Tidak Tepat-Khairy

Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan pandangan pihak tertentu yang menyatakan mahasiswa akan hilang tumpuan terhadap akademik sekiranya diberi ruang dan kebebasan berpolitik adalah tidak tepat.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, penglibatan mahasiswa dalam politik sepatutnya secara positif kerana ia dilihat mampu melahirkan golongan tersebut agar lebih berfikiran kreatif dan kritis yang sekaligus membantu dalam pengajian mereka.

Menyentuh mengenai cadangan pindaan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang melarang mahasiswa berpolitik, beliau menyatakan semua pihak tidak boleh menganggap semua golongan itu sebagai 'anti establishment', menentang kerajaan atau sebagainya.

"Kita berpandangan, kebebasan mahasiswa berpolitik tidak bermakna mereka menentang kerajaan. Jika kebebasan itu diberikan, golongan ini sebenarnya mahu tampil bersama-sama dengan kerajaan untuk mengutarakan pandangan mereka dalam pelbagai perkara.

"Apa yang kita lihat, kerana kengkangan inilah (larangan mahasiswa dalam berpolitik), merasakan mereka terpinggir tidak dapat bersama-sama dengan kerajaan. Walaupun ada di antara golongan ini dilihat memberikan pandangan yang kritis, namun ia tidak bermakna mereka tidak menyokong dasar aspirasi kerajaan dan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Saringan Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri Peringkat Zon Tengah anjuran Unit Pidato Pemuda UMNO di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, 11 Nov lalu yang menyatakan AUKU tidak perlu dipinda berkata, ia adalah pandangan peribadi Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Katanya, memberi kebebasan kepada mahasiswa dalam politik tidak semestinya golongan itu akan mengabaikan matlamat mereka di universiti untuk mencari ilmu pengetahuan.

"Politik itu sendiri membantu membentuk pemikiran kreatif dan kritis dalam sesuatu disiplin ilmu. Saya juga percaya tidak semua pelajar berminat dalam politik.

"Sekiranya ada mahasiswa mereka terlibat dalam bidang itu, saya yakin dan faham mereka sebenarnya tahu keutamaan mereka dalam pengajian masing-masing," ujarnya.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.