Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil
memberi penjelasan tentang komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika
ditemuramah oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ).
Timbalan Perdana Menteri bertanyakan sama ada kenyataan Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bermakna beliau (Anwar) mementingkan Israel dan
menidakkan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu.
“Adakah dia (Anwar) lebih mengutamakan Yahudi dan Israel daripada
Palestin? Adakah ini pendirian sebenar Pakatan Rakyat, sedangkan kerajaan tidak
mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya selepas mengunjungi
Kampung Kebun Baru, Jementah hari ini.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata masyarakat
Palestin ketika ini dianggap sebagai rakyat terbuang, tanpa mempunyai tempat
tinggal dan pada masa sama berhadapan dengan kezaliman tentera Israel.
Muhyiddin ditanya tentang kenyataan pemimpin pembangkang itu
ketika ditemuramah oleh WSJ semalam, di mana Anwar secara terbuka menyatakan ia
akan mempertahankan keselamatan Israel.
“Barisan Nasional berasa amat kecewa (dengan kenyataan Anwar
itu),” katanya.
Kerajaan, kata beliau, turut berasa amat kecewa dengan proses
damai Israel dan Palestin yang telah berlangsung lama tetapi sehingga kini
gagal mencapai objektifnya untuk mewujudkan perdamaian di antara kedua-dua
pihak.
Muhyiddin turut ditanya tentang pemberian RM500 menerusi Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan berharap mereka yang masih belum menerima bantuan
terbabit supaya dapat bersabar.
“Kerajaan berharap dapat menyelesaikan pembayaran itu secepat
mungkin,” katanya.
Beliau berkata mereka yang ditolak permohonan untuk mendapatkan
BR1M juga masih berpeluang menerimanya dan boleh merayu kepada agensi-agensi
kerajaan yang mengendalikan pemberian bantuan itu.
0 Komen