Pas dilihat menerima tamparan hebat di Selangor
apabila parti itu seolah-olah tidak diiktiraf oleh sekutunya sendiri dalam
perjuangan Islam apabila portfolio hal ehwal agama Islam bertukar tangan kepada
PKR.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr
Yusof Hussin berkata sewajarnya portfolio itu tidak beralih arah kepada
mana-mana pihak lain sungguhpun berlaku perlantikan Exco baru menggantikan
Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada Pas baru-baru ini.
Menurut beliau bukanlah menjadi satu kesalahan
portfolio agama dipegang oleh mana-mana individu tetapi dalam isu berkenaan
ianya menimbulkan keraguan kepada umum status Pas yang sebelum ini mencanang
sebagai parti memperjuangkan Islam.
“Bukan salah Tan Sri Khalid pegang portfolio agama
kerana sesiapa pun boleh pegang tetapi menimbulkan sedikit persoalan kerana
bukankah Pas yang bernaung di dalam pakatan pembangkang mewar-warkan diri
mereka adalah parti Islam.
“Sepatutnya portfolio itu kekal kepada Exco baru yang
dilantik itu kerana ianya adalah datang daripada parti Pas. Saya cukup simpati
dengan apa yang menimpa Pas di Selangor kali ini seolah-olah mereka tidak
diiktiraf selayaknya oleh rakan sendiri, “ katanya kepada UMNO-Online di
sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perubahan
portfolio kerajaan Selangor apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.
Melalui satu rombakan kecil pentadbiran negeri,
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal
Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang
oleh Hasan. Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dr Yusof seterusnya menegaskan Pas tidak akan dapat
lari daripada kenyataan umum bahawa parti mereka seolah-olah melukut di tepi
gantang.
Ini kerana katanya orang ramai akan melihat Pas
benar-benar seperti telahan umum yang selama ini mengkritik parti berkenaan
yang mungkin sering dibuli oleh rakan mereka sendiri.
“Perkembangan terbaru itu membayangkan kepada kita
bahawa Pas rela dipijak oleh rakan mereka sendiri yang sepatutnya perkara itu
tidak berlaku,“ katanya. -MediaUMNO
0 Komen