Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata banyak masalah yang
dihadapi oleh rakyat Selangor di bawah kerajaan negeri pakatan pembangkang akan
dapat diselesaikan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih negeri
itu.
Perdana Menteri berkata selepas empat tahun mentadbir negeri
Selangor sejak pilihan raya umum 2008, kerajaan negeri pimpinan pakatan
pembangkang masih tidak menunaikan janji-janji mereka sehingga menyebabkan
sesetengah pihak berasa kecewa.
Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Sepetang
Bersama Perdana Menteri di Pangsapuri Rimba Jaya di sini sempena lawatan beliau
ke negeri Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Sayangi Selangor Yakini BN,
hari ini.
Beliau berkata antara masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor
kini ialah masalah air, sampah sarap dan para peniaga kompleks Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menghadapi cadangan kenaikan sewa ruang
niaga yang mencecah sehingga 100 peratus.
Pada majlis itu, Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan
memberikan peruntukan bagi membina sebuah surau yang amat diperlukan oleh
penduduk-penduduk di pangsapuri itu.
“Saya lihat pangsapuri Rimba Jaya memang memerlukan sebuah surau
yang baru kerana saya telah dibawa berjemaah Asar petang tadi, tentu kawasan
itu tak sesuai untuk kita terus kekalkan sebagai surau kawasan pangsapuri ini,”
katanya.
Buat masa ini penduduk menggunakan ruang tingkat bawah pangsapuri
itu sebagai surau yang hanya boleh memuatkan antara 50 dan 60 jemaah pada
sesuatu masa.
Selain itu, Najib berkata Kerajaan Persekutuan akan membiayai
pembinaan sebuah kuil baru untuk masyarakatIndiadi kawasan pangsapuri itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengumumkan jumlah peruntukan
yang akan diberikan untuk kedua-dua rumah ibadat itu.
Mengenai masalah sesetengah bekas penghuni setinggan Rimba Jaya
dahulu yang tidak dapat berpindah semula ke pangsapuri ini, beliau meminta
tempoh masa untuk mengkaji jalan penyelesaian kepada masalah itu.
Dalam ucapan aluannya pada majlis itu, Penyelaras BN bagi kawasan
Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Zulkarnain Osman berkata terdapat bekas
penghuni setinggan itu yang tidak dapat berpindah ke unit yang disediakan untuk
mereka di pangsapuri Rimba Jaya kerana tidak mendapat pinjaman bank.
Sementara itu, Najib turut melawat para peniaga di Kompleks PKNS
selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri tengah hari tadi.
Beliau turut dimaklumkan oleh para peniaga berkenaan bahawa
pakatan pembangkang banyak menabur janji manis sebelum berkuasa dahulu tetapi
setelah berkuasa mengenakan kenaikan sewa bulanan yang keterlaluan sehingga
mencapai 100 peratus.
“Pengerusi Persatuan (Peniaga-peniaga Kompleks PKNS) tadi minta
(Kerajaan Persekutuan) ambil alih Kompleks PKNS…kalau ambil alih kerajaan
negeri akan kenakan syarat yang menyusahkan.
“Adalah lebih baik jika BN mengambil alih semula kerajaan negeri
kerana bukan sahaja masalah peniaga itu selesai tetapi masalah sampah sarap,
air dan pangsapuri Rimba Jaya akan selesai,” katanya.
Najib, yang telah melakukan lawatan sebanyak tiga kali ke Selangor
bulan ini, turut mengucapkan terima kasih kepada para penduduk pangsapuri itu
kerana memberikan sambutan hangat kepada lawatan beliau itu.
0 Komen