Seorang pelajar institusi pengajian tinggi
swasta (IPTS) ditahan polis hari ini, kerana menulis kenyataan berunsur lucah
dan berbaur ugutan terhadap Perdana Meteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman
sosial.
Penuntut wanita berusia 20 tahun dari sebuah
IPTS di Kuala Muda itu ditahan pada pukul 9 pagi, selepas polis menerima laporan
mengenai kenyataan yang dipercayai ditulis wanita tersebut pada akaun Facebook
miliknya.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata
pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam semalam mengenai perkara itu, dan
menahan penuntut terbabit selepas mengenal pasti pemilik akaun Facebook
tersebut.
"Kita telah ke universitinya dan melalui
pihak universiti, kita telah memanggil pelajar itu untuk diambil kenyataan
berhubung berkara itu," katanya kepada pemberita, di sini malam ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah
telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik pelajar tahun dua IPTS tersebut
untuk siasatan.
"Kita juga turut memanggil ibu bapa
pelajar itu bagi membantu siasatan," kata Ahmad.
Katanya memandangkan pelajar itu masih lagi
dalam minggu peperiksaan, pihaknya telah membebaskan pelajar tersebut petang
tadi selepas diambil keterangan bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan.
"Kita akan memanggil beberapa individu
lain untuk memberi keterangan berhubung perkara ini. Kita juga akan memanggil
pelajar tersebut pada bila-bila masa jika perlu," katanya.
Beliau berkata pihak polis akan sentiasa
membuat pemantauan terhadap pelajar itu dan akan menyiasat dengan terperinci
perkara tersebut.
"Kita telah membuka kertas siasatan di
bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama
0 Komen