Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mendakwa 72
peratus kepimpinan PAS kini dikuasai oleh golongan sekular yang sanggup 'tidur
sekatil' dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata sejumlah 28 peratus lagi adalah golongan ulama yang
sanggup mengenepikan perjuangan asal PAS untuk menyokong Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita mahu menawan Putrajaya pada pilihan
raya umum ke-13.
"Saya berpendidikan sekular tetapi saya mahu PAS terus
dipimpin oleh golongan ulama yang berpendidikan dari Mesir dan Jordan,"
katanya pada ceramah anjuran Pertubuhan Kemajuan dan Integriti Melayu Muar
(Pekim) di Bukit Naning, di sini, malam tadi.
Pada ceramah yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu, Hasan turut mendedahkan
bagaimana kepimpinan PAS cuba memujuknya supaya berlembut dan mengikut sahaja
arahan pakatan pembangkang yang tidak setuju dengan tindakannya membanteras
gerakan mengkristiankan orang Islam di Selangor.
"Mereka minta saya bersabar dengan mengatakan apabila sudah
dapat tawan Putrajaya, waktu itulah baru dikuatkuasakan undang-undang
Islam," katanya.
Hasan dalam ceramahnya itu turut mengingatkan orang Melayu bahawa
hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan akan terjejas jika membenarkan pakatan
PAS, DAP dan PKR berkuasa di negara ini.
Beliau mendakwa pakatan pembangkang tidak mahu mendengar perkataan
Islam, Melayu dan raja serta mereka akan mendidik anak-anak dengan didikan
secara liberal jika diberi peluang.
0 Komen