Pemuda UMNO buat laporan polis Dakwaan skandal penyelewengan pasir Selangor



Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini meminta pihak polis menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah membabitkan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini seperti mana yang didedahkan Raja Petra Kamaruddin menerusi laman blog, Malaysia Today, semalam.

Ketuanya, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal berkata, siasatan tersebut harus dilakukan dengan segera bagi memastikan dakwaan berkenaan berasas supaya tindakan undang-undang boleh dilaksanakan terhadap mereka-mereka yang terlibat.

Ini kerana katanya, dakwaan penyelewengan melibatkan salah guna kuasa serta rasuah merupakan satu jenayah yang tidak boleh dipndang ringan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan wakil rakyat yang mempunyai kepentingan tertentu.

"Justeru, kita mahu polis supaya menyiasat dakwaan berkenaan secara terperinci dan 'mencungkil' siapakah dalang-dalang sebenar dalam skandal penyelewengan pasir di Selangor seperti yang didedahkan menerusi laman blog itu," ujarnya kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Tambahnya, berdasarkan dakwaan itu, Raja Petra menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari dikatakan telah memberi sokongan bertulis surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil sedangkan pada masa yang sama wakil rakyat itu memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkenaan pada tahun 2010.

Dakwaan itu menurut Raja Petra turut melibatkan ADUN Seri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei yang dikatakan turut memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat yang sama.

"Berdasarkan dakwaan tersebut sebagai contoh, persoalan yang timbul ialah bagaimana wakil rakyat ini menyokong surat permohonan sebuah syarikat untuk melombong pasir sedangkan mereka sendiri (Mat Shuhaimi dan Amirudin) adalah Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang terbabit.

"Jika benar dakwaan itu, kita lihat ia mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa, ada konflik kepentingan," jelas beliau yang akan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin depan.

Sementara itu, Megat Firdaus turut meminta polis membuka semula siasatan berhubung kes kematian Bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong Kie Yik yang dikatakan dibunuh bagi menutup penyelewengan pasir di Selangor seperti mana yang didakwa Raja Petra.

Katanya, siasatan terperinci melibatkan kematian Patrick itu harus diadakan bagi meneliti sama ada ia mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir di negeri ini.

Semalam, Raja Petra mendakwa pembabitan dua wakil rakyat PKR, Shuhaimi dan Amiruddin dalam skandal rasuah pasir di Selangor.

Dakwaan itu dibuat oleh Raja Petra sehari selepas penulis blog itu mendakwa Patrick dibunuh bagi menutup penyelewengan pasir di Selangor kerana bekas Presiden MBAM itu yang juga rakan baiknya dikatakan sedang mengumpul maklumat pembabitan pemimpin pakatan pembangkang dalam skandal berkenaan.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. This comment has been removed by the author.
Post a Comment