35 Penghuni Flet 4 Tingkat Kg Kerinchi Beri Respon Positif Untuk Berpindah


Pembangunan semula Rumah Pangsa 4 Tingkat Kampung Kerinchi di Pantai Dalam, yang sebelum ini tertangguh lebih setahun dan mendapat bantahan beberapa penghuni yang meragui pembangunan di kawasan tersebut, akhirnya menampakkan kemajuan positif apabila penghuni terbabit bersetuju untuk dipindahkan sementara bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, 35 daripada 467 penghuni yang sebelum ini membantah projek pembangunan itu yang bakal dibangunkan oleh syarikat Suez Domain Sdn Bhd, telah menerima surat tawaran penempatan sementara serta kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berdekatan yang diselia oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai 10 Mac 2012 secara berperingkat.

Katanya, setakat ini 20 penghuni telah mengesahkan kesediaan untuk berpindah sementara dan pihak DBKL serta syarikat pemaju telahpun menerima surat maklum balas mereka untuk berpindah ke PPR berdekatan.
Manakala 15 lagi penghuni sudah ditawarkan surat penempatan dan pada dasarnya mereka menyatakan persetujuan untuk berpindah, bagaimanapun surat tawaran tersebut masih belum dipulangkan kepada pemaju dan dijangka diserahkan dalam masa terdekat.

“Ini bermakna proses pemindahan dan penempatan semula berjalan lancar bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan rumah pangsa berkenaan yang telah tertangguh lebih setahun”.

“Keputusan memberi rumah PPR kepada penghuni terbabit dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan, walaupun mahkamah sebelum ini memutuskan hanya pampasan sebanyak RM 73,000.00 sahaja diberikan kepada 35 penghuni terbabit dan mereka tidak layak menuntut apa-apa tuntutan lain termasuk penempatan sementara”.

Tarikh akhir mengosongkan rumah masing-masing ialah pada 2 April 2012, selaras dengan notis pengosongan premis dan tapak yang dikeluarkan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 26 Mac 2012.

Notis pertama telah dikeluarkan pada 14 Mac 2012 untuk pengosongan bertarikh 21 Mac 2012, bagaimanpun notis tersebut dilanjutkan kepada 26 Mac 2012 bagi membolehkan penghuni terbabit memperolehi rumah PPR yang ditawarkan dan mengurus pemindahan mereka.

“Saya percaya tiada lagi isu berbangkit melibatkan kebajikan penghuni di kawasan pembangunan tersebut selepas ini dan pembangunan yang bakal dilaksanakan sememangnya memberi manfaat besar kepada penghuni berkenaan untuk jangka masa panjang”.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment