Persatuan
Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) semalam membuat laporan polis berhubung
dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pembahagian kontrak kutipan sampah di
Selangor.
Laporan
polis itu dibuat oleh Presiden Cassa Datuk Dr Jacob George di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 9 di sini.
Beliau
berkata Cassa juga akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan
berkenaan kerana pihaknya menerima lebih 30 aduan daripada orang ramai dan
kontraktor yang tidak berpuas hati dengan pembahagian kontrak berkenaan.
Jacob
mendakwa pembahagian zon kutipan antara kontraktor yang dipilih juga
menimbulkan keraguan kerana terdapat sesetengah kontraktor diberikan tiga zon
kutipan sampah sedangkan ia tidak berlaku sebelum ini.
“Pelik
apabila satu kontraktor mendapat tiga zon kutipan sedangkan setiap kontraktor
sepatutnya mendapat satu atau dua zon saja untuk kerja-kerja kutipan sampah,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata jika kerajaan negeri masih berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa
tindakan, Cassa juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) supaya menyiasat prosedur pembahagian tender berkenaan.
Beliau
berkata Cassa juga akan mengadakan ceramah di seluruh daerah di Selangor untuk
mendedahkan kepada rakyat tentang salah guna kuasa yang berlaku dalam
pentadbiran kerajaan negeri jika tiada tindakan yang dibuat bagi menangani isu
ini.
Jurucakap
polis IPD Shah Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
0 Komen