Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
sokongan dan keyakinan rakyat yang semakin meningkat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah kerana kerajaan sentiasa
mengotakan janjinya berbanding dengan pembangkang yang hanya pandai berjanji.
"Saya rasa sehari dua ini penambahan keyakinan rakyat
terhadap BN adalah disebabkan apa yang kita (BN) kata, kita kotakan. Sebaliknya
pembangkang bila mereka janji, tahap keyakinan janji mereka semakin hari
semakin dipersoalkan.
"Justeru itu, kalau hendak terus mendapat keyakinan rakyat,
sebagai pemimpin di semua peringkat kita mesti 'walk the talk'... janji mesti
dikotakan," katanya semasa melakukan tinjauan mesra dan berucap pada
majlis perjumpaan dengan penduduk Taman Setia Indah di Johor Bahru, hari ini.
Najib berkata walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira
tiga tahun ini, kerajaan mampu menterjemah segala projek yang dirancangkan
kepada realiti yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
"Insya-Allah, kalau tiga tahun kita sudah berjaya yakinkan rakyat,
apatah lagi kalau lima tahun yang mendatang, macam-macam kita boleh buat
untuk rakyat," katanya.
Merujuk kepada negeri ini, Perdana Menteri berkata landskap
pembangunan Johor kini semakin berubah kerana adanya perancangan dan keyakinan
rakyat kepada kerajaan.
Katanya, rancangan pembangunan di kawasan Iskandar Malaysia sudah dilaksanakan
sebanyak 45 peratus manakala satu projek terbaru membabitkan hab minyak dan gas
di Pengerang dekat Kota Tinggi yang membabitkan pelaburan berjumlah RM60 bilion
juga akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Terdahulu, sejurus tiba di kawasan perumahan itu, Perdana Menteri
memulakan program tinjauan mesranya dengan berbasikal bersama belia pelbagai
kaum di kawasan rekreasi perumahan tersebut.
Dengan berjalan kaki, Najib kemudian dibawa meninjau kawasan
perniagaan, medan selera dan pasar awam Taman Setia Indah untuk beramah mesra
dengan penduduk setempat sebelum berucap pada majlis perjumpaan.
Najib kemudian mengumumkan beberapa peruntukan termasuk bagi
menyiapkan 316 unit projek perumahan rakyat Taman Setia Indah yang terbengkalai
sejak tahun 2008, membina masjid Taman Puteri Wangsa dan projek membina
bangunan tambahan empat tingkat untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew,
Taman Mount Austin, di sini.
0 Komen