Kesediaan Hadi Awang Berundur Adalah Mesej Kekecewaan Presiden Pas




Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang menawarkan diri untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan cuba menawarkan kepada pemimpin pelapis dalam PAS adalah satu perkara yang sudah sekian lama terbuku dalam hati seorang Presiden, ujar Naib Ketua UMNO bahagian Marang, Razali Idris.

“Beliau tidak mampu untuk mengatakan bahawa PAS kini sudah lari dari asas perjuangan iaitu menegakkan Negara Islam, tetapi hanya mampu memberi luahan yang beliau tidak akan bertanding. Jadi sebenarnya pada pemikiran Datuk Seri Hadi Awang ini, Pas sekarang kini berada dalam kesukaran untuk memperjuangkan Negara Islam.

Jadi beliau sebagai Presiden PAS dan sebagai ketua parti ini, berharap yang PAS ini kembali kepada landasan yang benar tetapi beliau tidak mampu kerana pakatan pembangkang khususnya PKR dan DAP ini memang jelas tidak mengizinkan PAS melaksanakan undnag-undang Islam di Negara kita,” ujarnya mengulas kenyataan Datuk Seri hadi Awang yang sedia berundur dari bertanding PRU baru-baru ini bagi memberi peluang kepada muka baru dalam PAS untuk bertanding PRU13. 

Ujarnya, kenyataan Hadi Awang untuk mengundur diri itu sebenarnya satu amaran keras kepada pemimpin-pemimpin PAS sebenarnya. Namun dalam konteks di negeri Terengganu di Marang sendiri, PAS begitu lemah dalam memperjuangkan syiar Islam sebagaimana yang mereka perjuangkan sekian lama, dan rakyat di Marang sendiri sebenarnya sudah meluat dengan kata-kata Haji Hadi yang sentiasa berubah-ubah dan suka memutar belit fakta yang sebenarnya.

Dalam masa yang sama, Barisan Nasional di Marang sekarang ini sudah semakin kuat dan diterima melalui sokongan orang Melayu, orang baru yang mana mereka dahulunya bertukar-tukar menyokong UMNO dan PAS, malah ada yang sokong UMNO tetapi mengundi PAS pada PRU lalu dan sebaliknya, tetapi kini mereka dah kini menyokong UMNO sepenuhnya.

“Sokongan ini kerana transformasi yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan kini, ahli dan penyokong-penyokong UMNO hanya menanti tarikh pilihan raya untuk menterjemahan sokongan mereka dengan menolak PAS di Terengganu khususnya di Marang.

Jadi pada saya, di Marang khususnya negeri Terengganu, PAS masih lagi tidak ada kemampuan lagi untuk memerintah kembali kerana kami dan rakyat negeri Terengganu masih lagi tidak lupa apa yang PAS lakukan ketika memerintah kerajaan negeri antara tahun 1999 sehingga 2004,” ujarnya yang merupakan calon BN yang menentang Datuk Seri Hadi Awang di DUN Rhu Rendang pada pilihan raya umum 2008.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dalam akhbar Sinar Harian membayangkan sedia berundur bagi memberi laluan kepada muka baru yang bakal diketengahkan untuk bertanding dalam PRU 13 ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat, lebih 30 tahun sebagai  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen.

Beliau bagaimanapun menawarkan kepada partinya untuk bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment