Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar telah
memfailkan saman fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor serta Anggota Dewan
Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Sue Lim kerana didakwa memfitnah beliau.
Noh berkata kerajaan negeri Selangor melalui akhbar rasminya
SelangorKini dalam keluaran 25 Nov-2 Dis 2011 telah menerbitkan dua artikel
yang dikatakan memfitnah beliau berbunyi: “Pesawah tuntut Noh Omar letak
jawatan” serta artikel yang turut menyiarkan kain rentang “Noh Omar khianat
petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani”.
“Satu kita saman kerajaan negeri bersama enam yang lain termasuk
siding pengarang SelangorKini dan satu lagi kepada Adun Sekinchan,” katanya
dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Katanya, saman sebanyak RM10 juta setiap satu telah difailkan di
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Mac lepas melalui peguamnya Datuk Firoz
Hussein Ahmad Jamaluddin.
Noh berkata penerbitan kata-kata fitnah itu boleh menjatuhkan
reputasi beliau sebagai anggota parlimen Tanjong Karang, menteri dan juga
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pendengaran pengurusan kes.
0 Komen