Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh
Omar hari ini mencabar kerajaan Selangor menyaman beliau sekiranya tidak benar
pendedahannya mengenai simpanan tunai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor
(PKPS) yang meningkat kepada RM114 juta tahun lepas.
Beliau mempertahankan kenyataannya bahawa simpanan tunai itu
meningkat berbanding RM8.3 juta pada 2008 diperolehi hasil transaksi jual beli
tanah PKPS di Sarawak ketika Barisan Nasional mentadbir negeri Selangor sebelum
ini.
"Ia bukannya daripada kecekapan pengurusan kerajaan pakatan
pembangkang sekarang. Saya bersedia disaman jika kerajaan Selangor berpendapat
pendedahan itu tidak betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Kuala
Selangor di sini hari ini.
Noh mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
memberikan jawapan terhadap isu itu untuk mengetahui macam mana dan bagaimana PKPS
boleh dapat duit begitu banyak dalam tempoh tiga tahun.
Beliau bertanya dari mana Pakatan Rakyat mendapat duit ini dan
beliau pun ingin belajar daripada kerajaan Selangor sekarang.
Semalam Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
meminta
kerajaan Selangor mendedahkan sumber simpanan tunai PKPS itu yang
meningkat kepada RM114 juta tahun lepas.
0 Komen