Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penafian Hamas
bahawa ia mempunyai pendirian selari dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan
kenyataan Ketua Pembangkang itu yang menyebelahi Israel.
Perdana Menteri berkata kenyataan Anwar nyata
bertentangan dengan pendirian Hamas yang memperjuangkan hak rakyat dan negara
Palestin.
"Dia (Hamas) tolaklah sebab kenyataan Anwar
itu memang menunjukkan dia (Anwar) lebih memberi keutamaan kepada keselamatan
negara Israel berbanding perjuangan orang Palestin yang ditindas dan dizalimi
(rejim Israel) selama ini," katanya hari ini.
Najib mengulas kenyataan Pengerusi Biro Politik
Hamas Dr Mousa Abu Marzook semalam yang menafikan pendirian pertubuhan itu
selari dengan Anwar yang menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan
Israel.
Dr Mousa dipetik sebagai berkata bahawa
pertubuhan itu sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis.
Anwar sebelum ini mendakwa pemimpin Hamas
Khalid Mashal menerima baik penjelasannya berhubung kontroversi berkenaan
selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin itu di Qatar.
Najib berkata pendirian kerajaan terhadap
Israel adalah konsisten sejak sekian lama dan ini terbukti melalui surat-surat
bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kepada tiga bekas pemimpin negara
itu.
Kandungan surat itu antara lain menunjukkan
ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel dan tidak pernah menyokong negara
itu mahupun perkara berkaitan negara itu.
0 Komen