UMNO Selangor mencabar Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim melantik juruaudit bebas bagi menjalankan siasatan
terhadap ketirisan aset Yayasan Selangor (YS) berjumlah RM500 juta yang didakwa
berpunca dari pentabiran Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor,
Datuk Noh Omar berkata, adalah perlu diadakan satu siasatan jika benar apa yang
didakwa oleh Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki bahawa pada tahun 1991 hingga Mac
2008 berlaku ketirisan aset YS.
Menurutnya, kerajaan negeri harus
mengemukakan bukti bahwa ia berpunca daripada BN dan jangan hanya pandai
membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.
"Pembangkang hanya pandai membuat
tuduhan tanpa sebarang bukti, ini adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat
dan menutup kelemahan mereka. Saya ingin jelaskan bahawa dakwaan pembangkang
adalah tidak benar malah kami mempunyai bukti mengenainya," katanya pada
sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan
Ketelusan Selangor (Selcat), Datuk Teng Chang Khim yang mencadangkan Kerajaan
Negeri perlu melantik juruaudit bebas bagi menyiasat ketirisan YS.
Dalam sesi pendengaran awam yang diadakan
semalam, Chang Khim mendakwa sejak Pakatan Rakyat mengambil alih YS, berlaku
empat perbelanjaan tidak munasabah bernilai RM1.4 juta. Ia membabitkan Majlis
Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor, majlis berbuka puasa, majlis jamuan
Aidilfitri dan Majlis Korban Perdana.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang
berkata, beliau mencabar Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan terhadap
Ilham kerana sepanjang menjawat jawatan itu, berlaku empat perbelanjaan yang
tidak munasabah dan ia telah dibuktikan oleh Selcat.
Katanya, sebelum ini beliau pernah mendakwa
berlaku perbelajaan yang tidak munasabah oleh YS, tetapi perkara itu dinafikan
oleh Abdul Khalid.
"Ini membuktikan bahawa dakwaan saya
sebelum ini adalah benar, saya tidak bercakap kosong. Setiap apa yang saya
katakan, saya mempunyai bukti yang mencukupi.
"Saya juga ingin meminta Abdul Khalid
membuat permohonan maaf secara terbuka, kerana mendakwa apa yang saya katakan
tidak benar. Oleh itu beliau harus memohon maaf," katanya.
Noh berkata, sepanjang sesi pendengaran awam
yang diadakan itu beliau tidak dipanggil untuk memberikan penerangan, walaupun
sebelum ini mendakwa berlakunya perbelanjaan tidak munasabah oleh YS.
Menurutnya, jika dilihat secara menyeluruh
pendengaran awam itu, adalah tindakan kerajaan negeri dalam cubaan untuk
menyelindungi 'orang mereka' yang melakukan kesalahan.
“Selcat adalah mahkamah kanggaru,” katanya.
0 Komen