‘UMNO Tolak Islam’ Senjata Basi Pas Untuk Tarik Sokongan Rakyat


UMNO Kelantan melihat tangapan pihak tertentu kononnya parti itu menolak Islam seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak sebagai tindakan terdesak oleh mereka yang ingin mempertahankan kedudukan politik dengan matlamat meraih sokongan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Hussin berkata UMNO menggunakan mandat serta kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini dan bukannya menjadikan alat untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Menurut beliau dengan kuasa yang ada, kerajaan mengembangkan pelbagai dasar yang berkaitan Islam berbanding dengan Pas yang menggunakan Islam untuk mendapatkan kuasa.

“Di Kelantan kuasa yang ada pada mereka itu tidak digunakan dengan sepatutnya termasuklah dalam soal mengembangkan Islam. Contoh yang jelas sebelum ini pelbagai tohmahan dilemparkan kepada UMNO seperti tolak Islam, tolak hukum hudud dan sebagainya.

“Tetapi apabila rakyat memilih mereka pada 1990, mereka menjanjikan akan laksanakan hudud di Kelantan, pada peringkat awal ada kekangan yang berlaku tetapi akhirnya apabila perkara ini dibawa ke sidang DUN telah dipersetujui oleh semua wakil rakyat termasuk BN, tetapi hingga ke hari ini masih tidak dilaksanakan.

“Kenapa..? sedangkan perkara ini telah diluluskan dan kita nampak sebenarnya Pas tidak jujur untuk menegakkan agama Islam, undang-undang Islam. Kecelaruan dalam perkara ini cukup ketara. Baru-baru ini pula baru timbul jawatankuasa teknikal untuk lihat kesesuaian pelaksanaan.. apakah maknanya semua ini…bukankah ianya satu sandiwara,” katanya dalam temubual ekslusif bersama UMNO-Online, di sini, hari ini.,

Dali yang juga Ketua UMNO Pengkalan Chepa seterusnya mengimbau bagaimana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu ketika pernah mengatakan hukum hudud ini hanyalah 0.0001 peratus sahaja dalam pelaksanaan undang-undang Islam.

“Apa pula pendirian MB Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dalam soal ini…Bukankah ada kecelaruan.. Apabila mereka sendiri berbeza dan ada kecelaruan dalam perkara ini, mereka seolah-olah mahu meletakkan kesalahan itu kepada UMNO dengan mengatakan kita pula tolak Islam.

“Pas sendiri tidak jujur dalam soal ini… Ditambah  pula apa yang berlaku hari ini calon Perdana Menteri mereka yang menjadi idola, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal-awal lagi menyatakan jika mereka menang dalam pilihan raya mereka tidak akan melaksanakan undang-undang Islam…bukankah ini jelas kepada kita,” katanya.

Tegas beliau lagi pembangkang memainkan sentimen politik kebencian yang mendalam untuk menafikan bahawa pengembangan syiar Islam di negara kita adalah asasnya keluhuran perjuangan pemimpin UMNO.

“Merekalah (pemimpin UMNO) yang sebenarnya banyak berjasa dan memberikan sumbangan yang mengembangkan serta mengatur urus melaksanakan dasar untuk memastikan Islam tertegak di negara kita. Bukannya atas dasar retorik politik semata-mata,” katanya. 

Sumber: MediaUMNO

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment