IKYS Pun Tak Dapat Tampung, Pembangkang Mimpi Nak Mansuh PTPTN

Pakatan pembangkang yang berjanji mahu memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berkuasa hanyalah janji-janji kosong berdasarkan kepada apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sendiri, kata Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus.

Katanya, sekiranya kerajaan tadbiran pakatan pembangkang ini benar-benar ikhlas dalam memberikan idea maka sewajarnya mereka menyelesaikan terlebih dahulu permasalahan berkaitan hutang-hutang dan bayaran pengajian para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Selangor

“Anwar Ibrahim yang mencadangkan pemansuhan PTPTN adalah penasihat Ekonomi Selangor tetapi malangnya sehingga ke hari ini tidak ada apa-apa manfaat dilakukan untuk negeri tersebut apatah lagi mahu mewujudkan pendidikan percuma malah sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang menjelaskan bahawa penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam atas alasan tidak menguntungkan adalah bukti sebenar pakatan pembangkang cakap tak serupa bikin.

“Ini adalah janji-janji manis pakatan yang terbaru sedangkan banyak lagi janji-janji yang telah ditaburkan semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dulu pun tidak ditunaikan dan sekarang mereka taburkan janji baru dengan harapan rakyat akan termakan semua kata-kata manis tersebut.

“Rakyat bukan bodoh… begitu juga para pelajar yang akan terpengaruh dengan apa yang dinyatakan pembangkang kerana semua orang boleh membuat perkiraan dengan menilai jumlah pelajar setiap tahun dan jumlah wang untuk perbelanjaan di IPT.”

Katanya, kegagalan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang diterajui PKR mahu ditutup begitu saja dengan mengutarakan janji-janji baru sedangkan rakyat keseluruhannya tahu apa yang berlaku sebagaimana kepincangan pengurusan Yayasan Selangor ekoran pihak yang menerajui yayasan berkenaan membelanjakan wang milik yayasan mengikut nafsu dan selera mereka.

“Sudah-sudahlah membuat janji-janji manis kerana sehingga hari ini, pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor telah gagal melaksanakan berpuluh-puluh janji lain yang semuanya indah-indah tetapi mustahil dilakukan.

“Sebagaimana cadangan yang diutarakan oleh Anwar untuk memansuhkan PTPTN maka ia juga akan menjadi lambakan janji-janji politik tak masuk akal mereka dan barangkali cadangan ini dibuat adalah satu lagi taktiknya untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah moral dan peribadinya daripada terus dipertikaikan.”

Jelasnya lagi, semua rakyat sedar dengan realiti kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini yang berjanji untuk ditepati dan bukan janji-janji kosong apatah lagi jika bercakap tentang subsidi dan bantuan pendidikan.

“PTPTN tidak mendatangkan masalah apa-apa kepada para pelajar malahan ia mampu memberikan galakan kepada mereka untuk menuntut ilmu bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan terbaik bagi membolehkan ia ditukar kepada biasiswa penuh.

“Rakyat pun sedar dalam kehidupan seharian sudah penuh dengan subsidi maka kewangan yang ada perlu diurus dengan baik bagi menjana pembangunan apatah lagi minyak Petronas yang dijadikan modal pembangkang adalah sumber yang terhad dan akan habis pada suatu hari nanti,” tegasnya lagi.

Sumber: MediaUMNO


Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment