Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata masuk syurga hanya dijanjikan oleh Allah swt kepada manusia yang beriman dan bertakwa dan tidak pernah dijanjikan kepada manusia yang menyokong parti politik tertentu.
"Syurga ini bukan milik manusia tetapi
milik Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis Ceramah Politik
Semasa di Kampung Selengkoh di sini malam tadi.
Oleh yang demikian, katanya kenyataan kononnya
sesiapa memberi sokongan dan mengundi PAS akan masuk syurga hanya satu janji
kosong yang dilakukan semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat barau-baru ini bahawa PAS tetap
dengan pendirian meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan
aspek syurga apabila seseorang itu menyokong parti tersebut ketika pilihan
raya.
Pada majlis ceramah itu, seramai 20 penyokong
PAS menyerahkan borang untuk menyertai UMNO.
Mereka yang diketuai Md Sofi Abd Latif menyerahkan
borang kepada Jamil Khir yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah. Turut hadir
Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Muhammad Shuhaimi Abdullah dan Anggota Dewan
Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.
0 Komen