Barisan Nasional (BN) perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada
usaha mencatat kemenangan di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 bagi
membentuk semula kerajaan di negeri itu, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil
Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.
Sebaliknya, kata beliau, sebarang cakap-cakap mengenai siapa yang
layak mengisi jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya BN kembali berkuasa di
negeri itu adalah tidak penting buat masa ini.
Katanya pendirian berkenaan telah disampaikan oleh Mubarak kepada
pengetahuan pucuk kepimpinan BN Selangor yang diterajui oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Memang perkara ini sudah diperhatikan sejak sekian lama. Begitu
juga di pihak Perdana Menteri. Namun soal sama sudah ada calon-calon sesuai
dikenal pasti untuk jawatan Menteri Besar Selangor, itu terpulang kepada budi
bicara Perdana Menteri.
“Tetapi apa yang pasti, daripada lebih 30 Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) yang BN ada, takkanlah kita tidak dapat pilih seorang calon untuk
mengisi jawatan berkenaan. Ini adalah mustahil. Adalah tidak adil untuk pihak
tertentu melabelkan ADUN-ADUN kita tidak mempunyai keupayaan untuk mentadbir
Selangor.”
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam program “Dalam
Radar” terbitan Bernama Radio24, semalam.
Bagaimanapun Abu Hassan berkata, seseorang ADUN yang mempunyai
kelayakan setimpal, prestasi kerja yang baik, personaliti yang disukai rakyat
selain bersikap telus, boleh dipertimbangkan namanya kepada PM dan Sultan
sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Ditanya mengenai sama ada BN mempunyai peluang cerah untuk menawan
kembali Selangor pada PRU akan datang, bekas Menteri Besar Selangor itu
melahirkan keyakinan bahawa misi tersebut boleh direalisasikan.
Keyakinan tersebut, katanya, adalah berdasarkan kepada sikap
rakyat Selangor yang kini mulai sedar terhadap kepincangan dan perwatakan
sebenar pakatan pembangkang.
“Jika kita boleh satupadukan segala usaha kita khususnya dari
aspek jentera parti-parti komponen BN, Mubarak dan badan-badan lain ditambah
pula dengan tahap kesedaran rakyat terhadap kepincangan sebenar pembangkang,
misi ini boleh berjaya.
“Tambahan pula, BN mempunyai rekod pencapaian dan jentera pilihan
raya yang lebih tersusun berbanding pembangkang,” katanya.
0 Komen