Pembangkang Kini Terkapai-Kapai Cari Isu Untuk Tanam Kebencian Rakyat Pada BN


Pemimpin pembangkang hari ini dilihat semakin terkapai-kapai dalam mencari isu untuk mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan dengan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemimpin Bn dan UMNO perlu sentiasa berhati-hati dan bersedia supaya tidak tersilap langkah dalam menangani kontroversi yang ditimbulkan oleh pembangkang.

“Saya tengok mereka terkapai-kapai mencari isu, sebab itu kita tidak boleh tersilap langkah kerana ia akan dieksploitasikan oleh golongan pembangkang, sekaligus merosakkan keyakinan rakyat terhadap BN. Dalam usaha kita nak bergerak ke hadapan, saya pesan kepada ahli Pemuda supaya tunjukkan kekuatan dan sokongan kita, jangan kita silap atau ikut rentak mereka.

“Jangan kita cari pasal, yang penting produk yang kita ada iaitu BN sendiri merupakan produk yang baik, cuma cara sesuatu isu diekploitasi oleh pihak pembangkang kadang-kala menyebabkan rakyat memandang serong terhadap kerajaan,” ujarnya ketika berucap melancarkan Program BN Pilihan Orang Muda peringkat negeri Perak di Ipoh petang tadi.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rusnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Hampir 10,000 ahli pergerakan Pemuda dan Puteri BN telah membanjiri kediaman Menteri Besar dalam menjayakan program tersebut.


Tambahnya, pembangkang kini mengekploitasi pelbagai isu termasuklah Bersih 3.0 dan di pihak BN pula, kita harus menggunakan pendekatan terbaik untuk menangkis tohmahan ini.

Malah katanya, pelbagai hasutan yang disuntik oleh pemimpin pembangkang seringkali mencetuskan keadaan huru hara dan menjurus kepada amalan demonstrasi jalanan.

Dalam masa yang sama, gelombang biru dan merah jambu yang dilihat hari ini jelas menunjukkan semangat juang dan keyakinan golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.

Hishammuddin berkata, kehadiran ribuan belia ke program itu merupakan bukti kukuh yang menunjukkan keyakinan kelompok tersebut terhadap BN semakin meningkat.

“Saya percaya gelombang yang wujud hari ini merupakan petanda positif terhadap sokongan orang muda kepada BN.

“Malah, saya percaya maklumat dasar yang diperkenalkan kerajaan yang tidak sampai ke bawah kerana diputarbelit pembangkang tidak kiralah dari segi terjemahannya atau hujahnya akan dapat diterangkan dengan lebih lengkap dengan sokongan dan bantuan ahli Pemuda dan Puteri BN,” ujarnya yang juga mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Katanya lagi, golongan belia perlu bersama-sama dengan pemimpin BN menerangkan pelbagai isu yang telah diputar belitkan oleh pembangkang yang bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

“Satu lagi perkara yang anak muda perlu ingat ialah jangan mudah diputar belit atau dikaburi dengan tuduhan  dan perpecahan kebencian yang cuba ditimbulkan oleh pihak pembangkang yang suka mengeksploitasi politik,” tegasnya.

Tambah Hishammuddin lagi, dalam keadaan sekarang, BN sememangnya memerlukan sokongan terutamanya daripada golongan muda.

“Dalam suasana sekarang, kita memerlukan sokongan bagi melaksanakan transformasi samada dalam pentadbiran kerajaan, ekonomi atau politik. Perjumpaan hari ini merupakan satu perjumpaan yang amat bersejarah kerana ia petanda Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) telah diterima.

“Ia bukan berkisar kepada pindaan akta semata-mata tetapi lebih kita juga memerlukan suntikan semangat anak muda,” katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment