PM: Jangan Lakukan Perkara Yang Menyentuh Sensitiviti Kaum Dan Agama


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak tidak melakukan apa juga perkara yang dilihat boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama di negara ini.
           
Beliau berkata ianya merupakan satu prinsip yang perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak di negara ini.

"Apa pun, kita tidak hendak (perkara sentuh sensitiviti kaum dan agama) jadi punca salah faham antara penganut pelbagai agama di negara kita,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Bersama Peneroka Gugusan Bera di Felda Triang 3, dekat sini hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas gesaan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) dalam sebuah portal berita  hari ini yang merayu Perdana Menteri supaya tidak membenarkan mana-mana pihak  menganjurkan seminar yang boleh mengancam penyebaran agama lain di Malaysia.

Jabatan Pelajaran Johor hari ini dilaporkan mengadakan seminar berkaitan pengajian Islam kepada guru-guru sekolah dengan memfokuskan kepada isu  penyebaran agama Kristian di kalangan orang Islam.

Perdana Menteri berkata: "Kita boleh bincang berkenaan soal akidah, tapi tidak boleh tidak sensitif pada pihak lain, sama ada orang Islam kepada bukan Islam, atau orang bukan Islam kepada Islam".

Dalam pada itu, beliau berkata perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama boleh diselewengkan atau dijadikan isu politik oleh pihak-pihak tertentu.

"Maklum sahajalah dekat pilihan raya, semua perkara boleh diselewengkan atau boleh dipusingkan menjadi isu politik, sebab itulah kena berhati-hati dalam perkara ini".
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment