Sebanyak 129 projek perkilangan yang menawarkan
lebih 12,000 peluang pekerjaan di Selangor tidak dapat dilaksanakan berikutan
bekalan air bersih yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi pihak
industri.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Datuk Seri Noh Omar berkata pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd
(Syabas) tidak dapat menyalurkan bekalan air bersih kepada kilang berkenaan
ekoran kekurangan air bersih di negeri ini.
"Meskipun 129 projek perkilangan dengan
jumlah pelaburan RM3.8 bilion diluluskan, Syabas tidak dapat memberikan komitmen
untuk menyalurkan bekalan kerana kekurangan simpanan air bersih," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri perasmian jentera pilihan raya Barisan
Nasional (BN) peringkat Tanjong Karang oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor semalam.
Noh berkata kekurangan air bersih itu disebabkan
keengganan kerajaan negeri memberikan persetujuan kepada projek pembinaan Loji
Rawatan Air Langat 2.
Selain itu, katanya Syabas turut menghadapi
masalah menyalurkan air bersih untuk beberapa projek perumahan di Selangor.
Menurut Noh, kerajaan membelanjakan RM600 juta
untuk menambah baik beberapa loji di Selangor bagi menyalurkan air bersih.
0 Komen