Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata soal kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang
ditimbulkan oleh pihak Dong Zong menerusi satu perhimpunan di Kajang atas dasar
sudah 20 tahun sekolah-sekolah Cina diabaikan dan guru-guru tidak disediakan
adalah satu pembohongan besar.
Beliau berkata para guru yang hadir pada hari
ini memang mengetahui masalah kekurangan guru bukan sahaja membelenggu
sekolah-sekolah Cina malah sekolah-sekolah kebangsaan terutamanya guru-guru
Bahasa Inggeris.
“Bukan kementerian membiarkan masalah
kekurangan guru itu berterusan kerana mengisi kekosongan jawatan-jawatan guru
yang bersara mengambil masa,” katanya pada majlis perjumpaan beliau dengan
guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sempena lawatan beliau ke
Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Barisan Nasional Selangor di sini hari
ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata
memandangkan ramai wanita menjadi guru, setiap tahun kira-kira 20,000 guru
bersalin dan tempat mereka ini juga perlu diisi.
Mengenai dakwaan ada 1,700 kekosongan guru di
sekolah Cina tidak dapat diisi, Muhyiddin berkata sebenarnya lebih 1,400 guru
itu telah diisi dengan guru-guru sementara.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil
langkah bagi menangani masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah Cina yang
memerlukan guru yang boleh berbahasa Mandarin walaupun untuk pelajaran Bahasa
Malaysia kerana khidmat mereka diperlukan untuk mengajar matapelajaran lain
jika diperlukan.
Untuk itu, katanya, guru besar
sekolah-sekolah Cina telah diberi kuasa untuk melantik guru-guru sementara
dalam tempoh terdekat bagi mengisi kekosongan guru di sekolah-sekolah
masing-masing.
Muhyiddin berkata daripada segi
infrastruktur, masalah SRJK Tamil dan Cina tidaklah seteruk sekolah-sekolah di pedalaman
Sabah dan Sarawak di mana beliau terpaksa menggunakan helikopter untuk melawat
sekolah-sekolah di sana kerana kalau melalui perjalanan darat ia akan mengambil
masa empat hari untuk sampai ke sekolah-sekolah tertentu.
Beliau berkata ada antara sekolah itu sudah
berumur 50 tahun dan keadaannya semakin teruk.
Menurut audit bangunan sekolah yang
dijalankan oleh kementerian, terdapat 600 buah sekolah dalam keadaan daif dan
perlukan perhatian.
“Kita bukan tak bagi perhatian, SRJK Cina
lagi elok…sekolah kebangsaan lagi teruk sebab di pedalaman,” katanya.
Muhyiddin berkata kos membina sebuah sekolah
kebangsaan di Sabah dan Sarawak adalah tinggi iaitu RM60 juta seunit kerana kos
pengangkutan bahan binaan yang tinggi serta jarak yang jauh berbanding dengan
sekolah kebangsaan baru di Semenanjung yang hanya menelan belanja RM20 juta.
Katanya peruntukan kerajaan bagi mengurus
SRJK Cina ialah RM2.89 bilion dan bagi SRJK Tamil ialah RM1.04 bilion, di mana
kebanyakan daripada peruntukan itu digunakan untuk membayar gaji.
Pada masa ini terdapat 1,294 sekolah-sekolah
jenis kebangsaan di seluruh negara yang hampir 700 daripadanya ialah sekolah
kurang murid, iaitu hanya 10 ke 20 orang murid dalam setiap sekolah.
Beliau berkata secara purata perbelanjaan
mengurus sekolah-sekolah Cina adalah RM2.23 juta sebuah setahun manakala
sekolah-sekolah Tamil pula ialah RM1.99 juta dan sekolah-sekolah kebangsaan
RM2.26 juta.
Muhyiddin berharap pendidik di sekolah
kedua-dua aliran itu supaya berusaha meningkatkan prestasi sekolah dan
anak-anak murid mereka sehingga sekolah masing-masing mencapai status Sekolah
Berprestasi Tinggi.
Beliau menyebut sebagai contoh Sekolah
Kebangsaan Ulu Lubai di Limbang, Sarawak, yang telah dinobatkan sebagai Sekolah
Berprestasi Tinggi dan guru besarnya menerima dana tambahan daripada kerajaan
walaupun bangunan sekolah itu diperbuat daripada kayu dan mempunyai hanya 100
murid.
Justeru beliau menegaskan Kementerian
Pelajaran tidak pernah menganaktirikan atau member layanan berbeza kepada
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina atau Tamil.
“Kita tidak pernah memberi layanan berbeza
hanya kerana ia sekolah Cina atau Mandarin tetapi ada persepsi pemikiran
sesetengah pihak termasuk pembangkang… oh, sekolah Cina kita ketepikan, sekolah
Tamil kita ketepikan, sekolah kebangsaan kita utamakan,” katanya.
Sambil menyifatkan kedua-duanya merupakan
sebahagian penting dalam system pendidikan negara, beliau berkata Kementerian
Pelajaran mahukan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mempamerkan prestasi yang
baik dan banyak sekolah kedua-dua aliran ini setanding pencapaiannya dengan
sekolah-sekolah kebangsaan.
Beliau berkata kerajaan mengutamakan sekolah
kebangsaan kerana ia adalah dasar dan sistem negara tetapi sekolah Jenis
Kebangsaan Cina dan Tamil tidak boleh diketepikan.
11:25 AM
Kerajaan BN terlalu berlembut dalam hal ini... Hapus ajer sekolah2 cina Dan Tamil untuk kebaikan negara dimasa datang...