Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Waris Malaya,
yang secara rasminya menjadi Sahabat Barisan Nasional (BN) hari ini,
membuktikan golongan muda sentiasa menyokong BN.
"Siapa kata orang muda tak sokong? Waris Malaya ini bukankah
orang muda?" katanya semasa berucap melancarkan Waris Malaya sebagai
Sahabat BN di Dataran Transformasi Kampung Jalan Kebun di sini, hari ini.
Beliau berkata perhimpunan yang melibatkan ramai golongan muda
termasuk yang masih belasan tahun dan belum layak mengundi merupakan cerminan
dan manifestasi bahawa angin kencang sedang bertiup di bumi Selangor.
"Angin kencang akan meranapkan sesiapa cuba menolak perubahan
yang dituntut rakyat Selangor, yang ingin kembalikan BN di Selangor,"
katanya.
Pengerusi BN itu berkata tidak kira sama ada tua atau muda yang berhimpun
beramai-ramai pada hari ini, yang penting adalah telah tersemat di hati masing-masing
untuk memilih BN sebagai parti memerintah.
Sambil meminta mereka membuat perubahan itu pada pilihan raya umum
akan datang, Najib berkata mereka sebenarnya telah tertipu dengan janji manis pembangkang
pada pilihan raya 2008.
Menurutnya antara janji yang tidak dikotakan kerajaan Selangor
ialah menurunkan cukai pintu, memberi elaun untuk anak-anak memasuki tadika,
elaun ibu sepenuh masa serta pelbagai elaun lain.
Sebaliknya, kata Perdana Menteri BN menghulurkan bantuan kepada
rakyat menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500 untuk setiap
keluarga yang pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, bantuan awal
persekolahan RM100 dan Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM200 serta Kedai dan
Klinik Rakyat 1Malaysia.
"Hanya BN yang boleh menjamin masa depan negara ini dan para
pemimpin kami bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah negara yang lebih baik
dan makmur menerusi ekonomi yang berkembang dengan begitu memberangsangkan,
selain kekayaan baru dapat dijana dan dipacu.
"Negara lebih maju, rakyatnya lebih sejahtera kerana rakyat
ada pekerjaan
yang disediakan oleh kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi
yang kita laksanakan. Lebih 300,000 (peluang pekerjaan) telah dan akan di
disediakan," katanya.
Najib berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia melihat ke
hadapan satu era baru menerusi transformasi bukannya reformasi kerana
transformasi adalah lebih baik daripada reformasi.
"Kalau tidak percaya, tanya Senator Ezam Mohd Noor (penaung
Waris Malaya). Dia sudah tinggalkan reformasi kerana dia tak percayakan
reformasi.
"Reformasi berakhir dengan baling kerusi, reformasi bersiri
dengan Bersih
1.0, Bersih 2.0 , Bersih
3.0. Transformasi (BN) membawa kepada perubahan kepada rakyat, kita lebihkan
pekerjaan, kita berikan BR1M kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata gerakan reformasi hanya mengumpulkan orang di
jalanan kerana ada yang kononnya hendak menjadi juara tetapi sebenarnya hanya
menyusahkan rakyat.
"Tidak perlu demonstrasi jalanan tetapi berkumpullah secara
aman tetapi yang penting mesti ada rasa tanggungjawab kerana bumi ini adalah
bumi yang bertuah dan perlu dipertahankan," katanya.
Najib berkata berkata BN mampu membawa perubahan besar kepada Selangor
jika ia kembali menerajui negeri ini.
Beliau menarik perhatian kepada pelbagai masalah yang berlaku di
Selangorc sekarang termasuk isu air bersih berikutan kegagalan kerajaan PKR
menanganinya.
"Selangor tidak boleh dipisahkan daripada perubahan besar...
susah jika
Selangor dipegang oleh orang lain. Susah nak dapat kelulusan
tanah, susah nak dapat bekalan air.
"Krisis air akan berlaku tidak lama lagi kerana ia (kerajaan
negeri) menghalang Projek Langat 2. Kita (kerajaan Pusat) nak laksanakan tapi ia
tak diberi development order (perintah pembangunan), ini akan menimbulkan
krisis air," katanya.
Najib berkata para pelabur mula bimbang kerana sukar menambah
kilang yang dapat memberikan peluang pekerjaan untuk rakyat Selangor berikutan
keengganan kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan projek itu, yang akan
menyalurkan air mentah dari Pahang ke Selangor.
"Akan berlaku satu musibah yang berat kepada rakyat Selangor
jika bekalan air tidak mencukupi. Perkara ini sebenarnya boleh diselesaikan
menerusi perundingan tetapi jika tidak boleh, nampaknya ia perlu diselesaikan
menerusi pilihan raya dengan memilih BN," katanya.
Pada majlis itu, Najib juga berterima kasih kepada konvoi belia
bermotosikal yang mengiringinya semasa membonceng sebuah motosikal dari Tol
KESAS Bukit Kemuning ke Kampung Jalan Kebun, di mana acara itu diadakan.
"Terima kasih kerana memberi saya pengalaman yang manis. Saya
dapat pengalaman... seronok," katanya.
Pada majlis itu, Presiden Waris Malaya Sheikh Whessal Sheikh Ahmad
berkata pertubuhan bukan kerajaan itu bermatlamat menjadi benteng dalam
mempertahankan negara daripada ancaman pengkhianat negara yang menjadi alat
kepada kuasa asing.
Waris Malaya atau Pertubuhan Warisan dan Kebajikan Anak Malaysia
Selangor ditubuhkan pada Disember tahun lepas.
0 Komen