Gembira, Sedih & Teruja - Suriani

LOMBOK: "Perasaan di dalam hati ini bercampur baur antara gembira,sedih dan teruja. Rindu nak jumpa keluarga yang hampir lima tahun saya tinggalkan namun pada masa sama kasihankan anak yang terpaksa berjauhan untuk satu tempoh yang belum diketahui.

"Tapi saya harap suami akan membawa jantung hati saya itu secepat mungkin supaya kami dapat bersama-sama membina kehidupan baru di kampung," kata Suriani Abdul Wahab, 21, rakyat Malaysia yang dilarikan dan berkahwin dengan pemuda Lombok.

Dia meluahkan hasrat itu selepas disahkan dapat pulang ke tanah air lewat petang semalam hasil usaha Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dengan kerjasama Imigrasi Indonesia sejak tiga bulan lalu. Bagaimanapun, suami dan anak kesayangannya tidak dapat ikut bersama kerana masalah dokumen perjalanan suaminya masih belum diperolehi selain surat nikah dan tahap kesihatan ibu mentuanya yang semakin uzur sejak kebelakangan ini.

Suriani berkata, keadaan itu membuatkan dia serba salah untuk meninggalkan anak tunggalnya kerana sebelum ini dia tidak pernah berenggang dengan Ismadani, 3 hasil perkahwinannya bersama suami, Madon Aban.

"Walaupun begitu, saya juga harus faham betapa keluarga di Malaysia juga merindui dan mengharapkan saya pulang segera.

Saya faham keadan itu kerana saya juga seorang ibu. Insya-allah, suami akan ikut serta selepas ini dan bekerja di sana," katanya ketika dikunjungi Setiausaha Agung KP1M, Abdul Khalid Chairul di Kampung Orong, Lombok Barat semalam.

Suriani yang kini fasih berbahasa Sasak, dilarikan ke pulau berkenaan pada Oktober 2008 menerusi laluan Johor Bahru ke Batam dan kemudiannya terus ke Tanjung Pinang untuk sampai di Surabaya. Selepas itu, dia menaiki pesawat untuk sampai di Mataram dan bernikah dengan Madon tiga hari selepas tiba di Lombok.

Katanya, dia bahagia dapat mendirikan rumahtangga bersama suami selepas tiga tahun menyulam cinta ketika tinggal bersama ibu bapa di Kampung Ulu Bakai, Baling Kedah dan hidup mereka diserikan dengan kehadiran Ismadani tidak lama selepas itu. Menurutnya, dia tidak kekok untuk berkomunikasi dengan keluarga mentuanya kerana mereka menerima dirinya seadanya malah jiran terdekat turut rapat dengannya menyebabkan dia selesa menjadi orang Lombok.

Namun begitu, sebagai anak, dia tidak pernah sama sekali melupakan kedua orang tuanya dan sering berhubung menerusi telefon terutamanya kakaknya Nursyakila untuk bertanyakan khabar sanak saudara yang lain.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kerana berusaha untuk membawa saya pulang. Saya akui, kekangan kewangan menyebabkan saya tidak dapat menyediakan dokumen untuk balik kampung bertemu keluarga.

"Bila balik nanti, saya ingin menyediakan makanan tradisional Lombok iaitu pelecing untuk keluarga di kampung. Saya belajar daripada emak mentua selepas lima bulan menetap di Kampung Orong," katanya yang juga seorang suri rumah. Suriani disahkan mendapat kebenaran untuk pulang ke tanah air hanya beberapa jam sebelum pesawat dijadual berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali selepas pegawai Imigrasi hadir menyerahkan surat pelepasan serta pasportnya.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment