Himpunan Jutaan Belia 2012 : Harapan Besar Negara Buat Orang Muda


Tirai Himpunan Jutaan Belia Putrajaya 2012 dibuka pada Rabu dan Persiaran Perdana di sini mula mencuri tumpuan selaku saksi penganjuran acara yang disasar sebagai perhimpunan orang muda terbesar di dunia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjadi penggerak utama acara itu, yang menyimpan harapan menggunung dan dibentuk khusus untuk membuka ruang serta peluang bagi anak muda mempamerkan bakat serta kreativiti, selain menyuarakan pandangan secara terbuka lagi tersusun.

Sejak berbulan lalu, setiap kesempatan yang diperolehi akan beliau ketengahkan berita dan maklumat terkini mengenai Himpunan Jutaan Belia, dan usahanya itu jelas mendapat sokongan setiap kementerian yang terletak di laluan Persiaran Perdana di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini.

“… kita serahkan Putrajaya untuk anak-anak muda di sini bagi menunjukkan kreativiti, tenaga dan pandangan mereka secara terbuka dan tersusun,” katanya.

Membawa harapan untuk menjadi antara 10 karnival tahunan terbesar, perhimpunan itu menampilkan 38 segmen yang menyediakan kira-kira 500 aktiviti, tersusun di laluan sejauh enam kilometer dengan 24 pentas dibangunkan untuk dikunjungi orang ramai, mulai esok sehingga Ahad.

Pada Rabu beberapa laluan sudah ditutup dan 16 kawasan letak kereta dengan 5,670 ruang letak kenderaan secara percuma sudah dibuka, sementara 12 trem ulang-alik di Persiaran Perdana pula akan digerakkan petang ini.

Khemah mula didirikan di kaki lima bangunan kementerian di sepanjang laluan itu, dengan bahagian hadapan Istana Kehakiman yang terletak di tengah-tengah laluan sudah bertukar wajah, membangkitkan ‘mood’ karnival.

Di situ juga bakal berlangsung majlis perasmian perhimpunan belia terbesar itu yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini.

Umum mengetahui pemimpin nombor satu negara itu sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha memacu dan memantapkan golongan belia, yang mewakili 45 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Dalam perutusannya sempena Hari Belia minggu lepas, Perdana Menteri berkata perhimpunan ini merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan bagi menjadikan Putrajaya sebagai medan besar untuk belia mempamer tenaga dan kreativiti masing-masing.

Himpunan Jutaan Belia tahun lepas menyaksikan kehadiran kira-kira 1.3 juta pengunjung, dan tahun ini penganjur mensasarkan ketibaan lebih dua juta pelawat untuk memeriahkan suasana.

Antara segmen yang ditampilkan termasuk Segmen Rekreasi, Segmen Beruniform, Corner of Performing Art, Cabaran Antarabangsa Redah 4X4, Rekreasi, Khidmat Sukarelawan, Usahawan Muda, Perkhemahan dan Jambori, Cergas dan Aktif, Pameran Pelancongan Belia, Dunia Gadget, Putrajaya Uptown, dan banyak lagi.

Segmen gerbang kerjaya menjanjikan lebih 5,000 peluang pekerjaan buat mereka yang masih mencari kerja yang sesuai, manakala segmen yang baharu diperkenalkan tahun ini ialah Perkampungan Budaya Kaum Cina.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment