Noh Omar Cabar MB Selangor Buktikan Krisis Air Tidak Akan Berlaku Di Selangor



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, sikap Kerajaan Negeri Selangor yang terus mempolitikkan isu air dan menguruskan negeri itu seperti sebuah syarikat menunjukkan ia tidak serius memperjuangkan kepentingan rakyat yang bakal berdepan dengan krisis air pada 2014.

Tambahnya, ia ekoran masalah air yang semakin parah dengan “reserve air” di Selangor kini menurun kepada 2.4 peratus berbanding 20 peratus diperlukan bagi menampung keperluan rakyat dan memacu pembangunan ekonomi di negeri itu.

“Kekurangan reserve air menyebabkan pembinaan 129 kilang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membabitkan pelaburan 3.8 bilion tidak dapat diteruskan di negeri itu kerana kekurangan air. Keadaan itu menyebabkan rakyat Selangor secara tidak langsung kehilangan lebih 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan, jika kilang terbabit dibina.

“Kerajaan negeri hanya pentingkan politik. Contohnya (dalam isu) cukai pintu juga, mereka janji (masa pilihan raya umum) nak turunkan tetapi kadar (cukai pintu) naik,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Fasa 2 Dewan Undangan Negeri Batang Kali Kelab Putera 1Malaysia di sini pagi tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan; ADUN Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kassim; ADUN Hulu Bernam Datuk Mohamed Idris Abu Bakar; ADUN Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun dan Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang menyampaikan sumbangan dapur dan tilam kepada 870 keluarga mangsa banjir di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Noh berkata Kerajaan Negeri Selangor seharusnya berhenti mempolitikkan isu penstrukturan semula industri air dengan meneruskan pembinaan Loji Air Langat 2 yang tertangguh pembinaannya sejak 2010 bagi memastikan krisis air tidak berlaku.

Katanya, Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak mentadbir negeri itu seperti sebuah syarikat yang mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Sehubungan itu, Noh mengulangi cabaran kepada Abdul Khalid untuk mengemukakan jaminan dan bukti bahawa krisis air tidak akan berlaku seperti dijangkakan.

“Sehingga hari ini (ekoran penangguhan pembinaan Loji Air Langat 2), kerajaan membelanja RM600 juta bagi projek mitigasi air di negeri Selangor,” katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment