Gambar Hiasan |
Pemuda Barisan Nasional (BN) lebih realistik dalam memperjuangkan
hak generasi muda di negara ini berbanding pembangkang yang hanya pandai
menabur janji, kata pengerusinya Khairy Jamaluddin.
"Kalau kita lihat perbandingan antara Pemuda BN dan
pembangkang, kita
(Pemuda BN) mempunyai perancangan masa depan yang jelas, lebih
realistik serta tidak menjanjikan 'bulan' dan 'bintang' sebaliknya menawarkan
sesuatu yang dapat dikecapi serta janji yang dapat kita laksanakan,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Konsert Jelajah BN Pilihan Saya'
di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, Ketua Pemuda
MIC T. Mohan, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda Parti
Progresif Penduduk (PPP) Harridz Mohan.
Mengenai konsert itu, Khairy berkata ia adalah salah satu cara
Pemuda BN
untuk mendekatkan diri dengan generasi muda.
"Konsert ini adalah salah satu cara bagaimana artis muda dan
veteran menyakinkan lebih ramai generasi muda untuk bersama kita (Pemuda BN),
pengisian kita bukan saja hiburan untuk dekati generasi muda tetapi yang lebih
penting untuk bantu orang muda," katanya.
Sementara itu, T. Mohan berkata konsert itu yang akan diadakan di
11 lokasi di seluruh Semenanjung bermula 1 hingga 24 Jun anjuran Pemuda MIC
dengan kerjasama Pertubuhan Artis-Artis India Malaysia dan Persatuan Belia
Karismatik Malaysia akan menampilkan artis India terkenal tanah air.
0 Komen