Pemuda UMNO Cabar PKR Buka Semula IKYS Dan Pulangkan Tanah Kepada YBK


Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini mencabar kerajaan negeri Selangor yang dipimpin PKR untuk membuka semula Institut Kemahiran yayasan Selangor di Sabak Bernam dan memulangkan semula tanah di Serendah kepada Yayasan basmi Kemiskinan (YBK) untuk didirikan UiTM.

Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa berkata, janji-janji PRU12 sebelum mereka mentadbir kerajaan Selangor pun belum ditunaikan, ini nak buat janji baru untuk membina 10 buah universiti kalau mereka memerintah Malaysia. Ini semua retorik semata-mata.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri telah menghalang pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Yayasan Basmi Kemiskinan sekiranya tidak dilantik sebagai pengerusi. Ini merupakan satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak mementingkan pembangunan negeri dan rakyat, apatah lagi kepentingan pendidikan.

Kerajaan Selangor juga telah menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam pada bulan Julai 2010, yang menyebabkan masa depan kira-kira 280 pelajar, kebanyakannya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dari seluruh negeri itu, terjejas,” ujarnya mengulas kenyataan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ketia berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Tambahnya, penutupan IKYS yang mula beroperasi pada Januari 2000, dipercayai berpunca daripada dakwaan kerajaan pakatan pembangkang bahawa ia tidak memberikan keuntungan kepada Yayasan Selangor dan kerajaan negeri.

“Keuntungan adalah alasan yang amat tidak munasabah kerana seperti kita sedia maklum, penubuhan yayasan bukanlah bermat-lamatkan keuntungan.  Pembinaannya adalah untuk membantu anak golongan berpendapatan rendah yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke peringkat tinggi mendapatkan latihan kemahiran di institusi disediakan kerajaan negeri iaitu Yayasan Selangor.

“Memang sasaran kerajaan negeri (pada ketika itu) untuk membantu anak golongan miskin mendapatkan latihan di IKYS supaya mereka dapat dibela bagi mengubah taraf kehidupan mereka,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan pemuda UMNO Negeri Selangor mencabar pihak PKR jika mereka benar-benar mahu berjuang untuk kebaikan dan masa depan pendidikan mahasiswa, maka mereka buktikan dengan membuka semula IKYS dan memberikan semula tanah yang telah mereka rampas di Serendah kepada YBK untuk didirikan UiTM.

“Jika dua tindakan tersebut gagal mereka laksanakan, apa sahaja yang diperkatakan oleh Rafizi baru-baru ini hanyalah omong kosong yang bertujuan untuk menarik perhatian orang selain  menjadikan pentas debat tersebut sebagai alat sekadar untuk menghentam kerajaan BN.

Benarlah apa yang diperkatakan saudara Khairy, debat malam tersebut sebenarnya berpunca kerana kerisauan pembangkang terhadap sokongan orang muda terhadap mereka yang semakin merudum,” tambahnya lagi.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment