Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Noh Omar hari ini mempertikai corak pentadbiran kerajaan negeri
Selangor di bawah pakatan pembangkang yang menjadikan negeri ini bagaikan
sebuah syarikat korporat yang mementingkan keuntungan semata-mata tanpa
memikirkan nasib rakyat.
Beliau berkata sebagai contoh kerajaan
Selangor lebih berminat terhadap penstrukturan semula industri perkhidmatan
air, sungguhpun Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahu bekalan air
untuk rakyat kini berada pada tahap kritikal.
"Mereka sibuk dengan penstrukturan
semula tetapi rizab air pada 2.4 peratus sahaja, bila penstrukturan semula siap
bekalan air untuk rakyat habis, jadi buat apa buat penstrukturan semula?.
"Kerajaan pusat sedia hendak bina loji
air Hulu Langat 2 berharga RM3.6 bilion untuk selesaikan isu air ini tetapi
kerajaan Selangor tidak mahu... mungkin kerana projek itu tidak beri
keuntungan wang ringgit," katanya kepada pemberita di Batang Kali di sini,
hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan daripada
Kelab Putera 1Malaysia berbentuk tilam dan dapur gas kepada 870 keluarga di
kawasan Batang Kali dan Serendah yang terlibat dalam banjir kilat pada 7 Mei
lepas.
Hadir sama Anggota Parlimen Hulu Langat P
Kamalanathan dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Noh berkata selain isu air, kenaikan cukai
pintu juga merupakan bukti betapa kerajaan Selangor mementingkan wang ringgit
tanpa mengutamakan kepentingan rakyat.
"Dalam menifesto pada pilihan raya lepas
mereka kata nak turunkan cukai pintu 20 peratus, tetapi baru-baru ini di
beberapa kawasan antaranya Taman Ampang Pecah kadar cukai pintu naik. Jika nak
naik (cukai pintu) perkhidmatan semakin bagus tidak mengapa.
"Tetapi perkhidmatan yang diberikan
tidak memuaskan seperti pungutan sampah timbul macam-macam masalah. Tidak kah
ini menunjukkan bahawa kadar cukai pintu naik adalah untuk kepentingan wang
ringgit sahaja?," soal beliau.
0 Komen