Kartunis & Animator Perlu Hasilkan Karya Tidak Langgar Batas Moral Dan Etika Negara - Najib


Kartunis dan penggiat animasi yang mempunyai pengaruh dalam menentukan kestabilan, perpaduan dan kemakmuran negara perlu menghasilkan karya yang tidak melanggari batas moral dan etika yang sepatutnya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri barkata kartunis dan animator perlu bersifat lebih peka dan sensitif terhadap budaya serta adat ketimuran masyarakat Malaysia yang penuh santun dan berhemah.

Berucap semasa merasmikan pameran kartun dan animasi 1Malaysia berjudul 'Anda, PM dan Kartunis' di Pasar Seni di sini hari ini, beliau berkata setiap karya atau produk yang dihasilkan perlu juga didasari, diasaskan seterusnya diadun dengan nilai murni tempatan yang tinggi, yang mampu mencapai tahap antarabangsa.

"Sungguhpun begitu, ini tidaklah bermakna kita mahu menyekat kreativiti serta inovasi kartunis atau animator dalam berkarya. Cumanya sahaja, dalam situasi yang sebegini, sememangnya karya-karya berbaur provokasi serta hasutan yang mampu membawa kepada perpecahan dan perbalahan perlulah dielakkan sama sekali," katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kartunis dan penggiat animasi di negara ini cukup matang dalam menilai dan membuat pertimbangan kepada perkara seperti ini demi kebaikan bersama.

Sambil melahirkan harapan agar kartunis dan penggiat animasi mampu menjadi kartunis dan penggiat animasi glokal, Perdana Menteri turut menyatakan rasa bangganya dengan watak animasi Upin dan Ipin.

Produk anak tempatan itu berjaya menjangkau sempadan antarabangsa apabila mempunyai slot tayangan di saluran Disney Channel Asia, yang boleh dianggap sebagai duta budaya Malaysia kepada masyarakat luar.

"Sebenarnya, karya-karya kartun dan animasi ini memberi warna kepada minda masyarakat. Sindiran, pandangan sinis yang berkaitan moral masyarakat sering menjadi subjek para kartunis dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

"Ini kerana, kartun dan bidang animasi merupakan wahana yang sewajarnya bersih, tidak mengenal warna kulit mahupun kecenderungan pegangan sahsiah. Kartun adalah bidang yang bersifat universal dan harus kekal menjadi bidang yang universal dan unik," katanya.

Najib berkata untuk itu, kartun dan karya animasi yang dihasilkan wajar dengan tulusnya mencerminkan wajah dan identiti Malaysia selaku masyarakat majmuk dan berbilang kaum.

"Di sinilah penting dan mustahaknya peranan kartunis dan animator dalam
pembangunan dan kemajuan negara. Dalam humor dan dalam jenaka, mereka perlu juga memasukkan mesej berbentuk perpaduan, kerjasama, toleransi serta kebersamaan bagi menjunjung falsafah 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata kreativiti kartunis dan animator diharapkan mampu bersama-sama menterjemah dan menyampaikan segala dasar serta agenda murni yang dirangka kerajaan dalam sisi yang lebih ringan, santai dan mudah difahami oleh masyarakat.

Pada majlis itu, Najib turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap penubuhan Yayasan Penggiat Kartun 1Malaysia dalam usaha membantu membangunkan dan mengukuhkan perpaduan kartunis, komikus dan animator di negara ini.

Beliau berharap yayasan itu dapat meningkatkan kerjasama dalam melahirkan karya serta produk yang lebih kreatif.

Najib kemudian menyampaikan sumbangan RM10,000 setiap seorang kepada empat kartunis veteran sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang kartun dicnegara ini iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, Zainal Buang Hussein, Reggie Lee dan Jaafar Taib.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment