Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Datuk Seri Noh Omar mencabar kerajaan Selangor untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap kroni mereka yang terlibat dalam penyelewengan dan salah
guna kuasa.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor
membidas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa
mempertahankan kroni dalam pentadbiran kerajaan negeri meskipun terlibat dalam
penyelewengan.
“Kerajaan Selangor mengamalkan kronisme, hingga kini tiada
tindakan langsung diambil terhadap
mereka termasuklah Pengurus Besar Yayasan Selangor(YS) Ilham Marzuki yang
mengaku membelanjakan wang YS dengan boros.
“Apa tindakan terhadap beliau?…Stail pembangkang, kroni akan
dipertahankan tetapi saya cabar Khalid agar mengambil tindakan terhadap
kroninya itu termasuk memecatnya dari jawatan yang dipegangnya sekarang,”
katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mac lalu, media melaporkan bahawa Abdul Khalid terus
mempertahankan Pengurus Besar Yayasan Selangor itu meskipun syarikat kerajaan
negeri itu berhadapan masalah pengurusan kewangan termasuk defisit RM7.41 juta,
tahun lalu.
Ilham sebelum ini mengakui melakukan kesilapan kerana meluluskan
peruntukan RM1.4 juta untuk kegiatan tidak berfaedah serta tiada kaitan dengan
fungsi yayasan itu sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan
pendidikan.
Antara kegiatan itu adalah jamuan makan perdana sebanyak
RM270,750, pertandingan memancing RM179,000, cenderamata RM52,900 dan majlis
berbuka puasa RM396,370.
Noh berkata kerajaan Selangor hanya berlagak seperti hero kononnya
memperjuangkan pembangunan pendidikan di Selangor sedangkan mereka gagal
membela dan membangunkan pendidikan di negeri itu kerana kepentingan politik.
Katanya, malah kerajaan Selangor sanggup menjual harta dan
mencairkan asset untuk menampung kerugian disebabkan pentadbiran yang tidak
cekap dalam membangunkan pendidikan.
“Mereka sanggup merobohkan asrama YS dan menjual tanah YS di
Kampung Pandan demi kepentingan mereka dan saya dimaklumkan pelajar-pelajar
terpaksa berpindah keluar malah YS juga tidak lagi mengambil pelajar dari luar
bandar untuk ditempatkan di asrama ” katanya.
Beliau berkata tindakan kerajaan Selangor menolak penubuhan
cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah juga seakan menggadai dan
mengorbankan peluang keemasan yang patut diberi pada rakyat Selangor.
“Penubuhan UiTM cawangan Selangor telah diluluskan kerajaan dan
telah mempunyai tapak namun kerana kepentingan politik, kerajaan Selangor
sanggup menolak.. tidak ada satu pun sumbangan besar mereka dalam bidang
pendidikan yang boleh membela dan membangunkan pendidikan di Selangor,”
katanya.
Beliau turut mencabar Khalid agar mengisytiharkan kerugian yang
ditanggung Universiti Selangor sepanjang pembangkang memerintah negeri itu.
0 Komen