KP1M Bantu bawa Zarina Pulang Ke Tanahair


"Anak-anak saya mana mak... jom balik kampung," itu perkataan yang keluar dari mulut Zarina Othman, 47, sebaik ditemukan dengan ibunya, Maimunah Shabudin, 73, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Zarina dan dia berpelukan melepaskan rindu terhadap ibunya memandangkan sudah dua tahun mereka tidak bertemu.

Sepanjang pertemuan itu, Zarina kelihatan tersenyum gembira serta sempat bermesra, bergurau senda dan bertanyakan khabar kepada ibunya.

Kepulangan Zarina ke tanah air diiringi kakaknya, Zaiton Othman, 50, adalah hasil usaha Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) selepas kisahnya dirawat di Rumah Sakit Banda Aceh, Indonesia dilaporkan di dalam akhbar.

Zaiton berkata, keluarganya akan terus memantau dan memberikan penjagaan rapi kepada Zarina berikutan kesihatan mental anak ketiga dari lapan beradik itu belum stabil.

"Kami akan meneruskan usaha termasuk mendapatkan rawatan psikiatri seperti yang disyorkan pakar di Rumah Sakit Jiwa Banda Aceh, Indonesia dan berkemungkinan dibuat di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL)

"Buat masa sekarang Zarina tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak memandangkan kesihatannya belum stabil," katanya ketika ditemui sebaik tiba di LCCT.

Hadir sama, Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Kisah Zarina mendapat perhatian KP1M selepas dia dilaporkan berada di dalam pengawasan rumah sakit di Banda Aceh berikutan ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Zarina dilaporkan memasuki Indonesia 25 Mac lalu melalui Dumai dari Jeti Bandar Melaka sebelum ditahan di Banda Aceh tiga hari kemudian kerana berkelakuan pelik serta mencurigakan sehingga dibawa ke rumah sakit jiwa berkenaan.

Zaiton berkata, adiknya mendapat layanan yang baik sepanjang menghuni rumah sakit jiwa itu dan dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya membawa pulang Zarina ke tanah air.

"Adik saya kelihatan sihat dan gembira sepanjang berada di sana. Walaupun dia bukan rakyat negara itu, adik saya masih mendapat layanan yang baik.

"Mereka khuatir sekiranya adik saya lari kerana sudah tentu tidak dapat mengesannya memandangkan tidak mempunyai alamat dan maklumat lanjut mengenai Zarina," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya mengambil masa tiga minggu untuk menguruskan kepulangan Zarina serta menemukannya bersama keluarga.

"Kita terpanggil untuk membantu keluarga Zarina selepas terbaca pada laporan akhbar mengenai wanita itu dalam pengawasan rumah sakit di Banda Aceh berikutan ditahan pihak berkuasa negara itu.

"Justeru, kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas bantuan dan keprihatinan menjaga kebajikan Zarina sepanjang berada di sana," katanya.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.