Entah
di mana silapnya, malang yang terhempuk di kepala bekas MB Perak, Nizar
Jamaludin terus bertimpa-timpa mengalahkan jatuh di timpa tangga.
Jika
ditanya pada khalayak PAS persoalan siapakah paling dibenci tika ini, tidak
dapat tidak mulut mereka akan terjuih tuju kepada Nizar. Bagi mereka sialnya
mulut dan sikap Nizar menyebabkan PAS tak dapat duduk diam dari menerima
hentaman dan kritikan umum.
Himpunan
Hijau Menuju Putrajaya misalnya yang patutnya menjadi medan penting
mengembalikan PAS ke posisi terbaik untuk tawar menawar kerusi dengan rakan
sepakatan dalam pembangkang tiba-tiba dicemari dengan ucapan pengharapan Nizar
yang mahu melihat kejatuhan PAS serta pembangkang di semua peringkat.
Lumrah
untuk kita sesekali tersasul namun biasanya kita akan diberi ilham oleh Allah
s.w.t untuk tersedar kemudian memperbetulkannya beberapa ketika selepas ucap
kata yang tersilap kita sebut sebelumnya. Tapi hingga kini baik Nizar mahupun
media maya pro PAS enggan mengulas atau memperbetulkannya, barangkali
masing-masing berasa malu.
Kebetulan
yang menarik dalam salah satu rakaman video yang memaparkan Nizar sedang
berucap di majlis himpunan itu terpampang jelas beberapa penghadang kayu yang
kelihatan seperti salib secara tidak sengaja. Tak semena-semana peristiwa
kalimah Allah s.w.t dijadikan gadaian oleh PAS bergema kembali.
Beberapa
hari lepas pula, Nizar jugalah yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan orang
ramai apabila sengaja mengkritik pembelian nombor pendaftaran oleh Sultan
Johor. Akibatnya panas punggung pemimpin PAS untuk mengatur buah silat untuk
menepis kritikan bertali arus.
Kira-kira
dua tiga minggu sebelum ini, dek kerana ingin menarik perhatian ramai, Nizar
telah dengan sengaja 'menceroboh' ceramah UMNO dengan hasrat mahu bikin gempak
supaya pemimpin UMNO di majlis tersebut akan kelihatan terkejut, takut dan
pucat.
Akhirnya
apa yang terjadi malu yang dapat apabila rakaman video yang dimuatturunkan
menunjukkan aksi sebaliknya. Tayangan video pembohongan Nizar dipertontonkan
ramai dan sifat gemar membohong Nizar terus dibalun hinggalah Nizar
tersipu-sipu malu meninggalkan majlis.
Sejak
dirinya terbabit berkonspirasi untuk cuba menjatuhkan Husam Musa dalam
pertandingan Naib Presiden PAS setahun lalu, imej dan kredibilitinya yang sudah
jatuh semakin menjunam ke bawah. Di tambah lagi dengan isu-isu terkini yang
menyelubungi dirinya, lebih ramai penyokong PAS yang menyampah berbanding menyanjung
dirinya.
Tidak
syak lagi jika situasi ini berkekalan dan usaha meningkatkan kembali imej Nizar
dan PAS gagal ditangani oleh parti itu, besar kemungkinan PRU 13 kelak harapan
permulaan zaman kejatuhan PAS seperti diucapkan oleh Nizar bakal menjadi kenyataan
0 Komen