Kerajaan Selangor sepatutnya lebih menumpukan
kepada usaha memastikan bekalan air di negeri itu sentiasa mencukupi daripada penstrukturan
semula industri air, kata Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.
Katanya walaupun berlakunya penstrukturan semula industri air,
kerajaan
negeri masih belum menyatakan rancangan mereka dalam memastikan
bekalan air terawat di Selangor mencukupi bagi menampung keperluan penduduk dan
industri.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada
persatuan pemandu teksi di Selangor mengenai program Teksi Rakyat 1Malaysia
(TR1MA), yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
pemandu teksi seluruh negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Jun ini.
Mohd Zin berkata sehingga kini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim masih menafikan laporan bahawa simpanan air terawat adalah rendah iaitu
sekitar dua ke tiga peratus tanpa memberikan angka sebenar.
"Cadangan kerajaan negeri bahawa sumber air boleh didapati
daripada banyak sumber seperti air bawah tanah, empangan mahu pun air lombong
tidak akan bermakna jika loji rawatan air yang ada tidak mampu menampung
kapasiti air ini.
"Sedangkan 33 loji rawatan air di Selangor sudah hampir
mencapai kapasiti
optimum masing-masing dan ada yang beroperasi lebih daripada
kapasiti maksimum," katanya.
Mohd Zin juga berkata Forum Air Selangor anjuran kerajaan negeri
Selasa
lepas, kebanyakannya disertai oleh ahli perniagaan yang
mencadangkan kaedah bagi menangani masalah air.
"(Namun) tiada keputusan kukuh yang diumumkan selain hanya
bercadang untuk meneliti setiap cadangan yang ada. Hakikatnya kita semakin
kesuntukan masa," katanya.
Beliau berkata jemputan untuk menyertai forum itu juga tidak
menyeluruh
kerana tiada jemputan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri
daripada BN Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd.
0 Komen