Selangor Sengaja Politikkan Isu Air – Peter Chin


Tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Forum Air secara tertutup tanpa menjemput wakil-wakil kerajaan Persekutuan dan operator-operator air hanya bertujuan untuk mempolitikkan isu air di negeri itu, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Dalam forum yang diadakan pada 12 Jun itu, beliau berkata, kerajaan negeri Selangor mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat untuk mengelirukan rakyat tanpa memberi peluang kepada kerajaan Persekutuan menjelaskan kedudukan sebenar.

“Sekiranya kerajaan negeri Selangor benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Selangor, mereka sewajarnya berani untuk bersemuka dengan pihak kerajaan Persekutuan dan membincangkan isu-isu tersebut secaraprofesional dan terbuka sepertimana yang dibuat kerajaan Persekutuan,” katanya di sini, Khamis.

Chin berkata, sebelum ini kerajaan Persekutuan menjemput wakil kerajaan negeri Selangor menganggotai Pasukan Petugas bagi Menangani Krisis Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Loo Took Gee.

Beliau berkata, forum terbuka membolehkan semua pihak memberi pandangan secara profesional bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai isu air di negeri Selangor.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan semasa forum mengenai ketidakwajaran pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) seharusnya dibincangkan semasa mesyuarat Pasukan Petugas atau mana-mana forum terbuka.

“Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan satu lagi forum air terbukakepada semua termasuk NGO dengan menjemput wakil-wakil dari kedua-dua pihak untuk mengemukakan pandangan masing-masing. Biar semua fakta-fakta ini diketahui,” katanya sambil menambah bahawa satu tarikh akan ditetapkan bagi mengadakan forum itu.

Sementara itu, Chin berkata, masalah gangguan air di Lembah Klang dijangkabertambah teruk pada musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga Ogos iniapabila kadar permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran air.

Berdasarkan maklumat terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), beliau berkata, kapasiti pengeluaran air dari 34 loji-loji dalam negara ialah 4,371 juta liter sehari (JLH) tetapi kadar permintaan tertinggi pada 17 Jun mencecah 4,410 JLH.

“Kapasiti rizab air dijangka menurun pada musim kemarau ini. Contohnya, kapasiti rizab air pada 5 hingga 11 Jun adalah antara 2.06 peratus hingga 1.22 peratus sahaja.

“Kita ada margin rizab yang nipis. Maka, kita perlu menambah kapasiti air dengan membina Langat 2 yang dijangka dapat memastikan lapan juta penduduk di kawasan-kawasan tersebut mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan dari tahun 2014 sehingga 2025 tanpa membina loji-loji rawatan air tambahan,” katanya.

Chin berkata, fasa pertama Langat 2 dijangka membekalkan 1,130 JLH seharidengan peruntukan sekitar RM5 bilion sahaja berbanding dengan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion yang diperlukan untuk menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) dari 32.3 peratus pada tahun ini kepada 20.83 peratus pada tahun 2020 iaitu penjimatan purata tahunan sekitar 126 JLH sahaja.

“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan projek-projek untuk menurunkan kadar NRW bukan merupakan jawapan bagi menangani masalah bekalah air di Selangor sebaliknya pelaksanaan Langat 2 merupakan opsyen terbaik.

“Saya menyeru kerajaan negeri Selangor memberikan kerjasama untuk memberikan kelulusan yang diperlukan bagi melaksanakan Langat 2.

“Saya menyeru kerajaan negeri Selangor supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan mengenai bekalan air di negeri Selangor tetapi bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menanganinya demi kebaikan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment