Petang tadi dalam perjalanan ke PWTC, aku terserempak dengan
kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspress di bawa jejambat R&R Sungai
Buluh.
Menurut laporan BERNAMA, Sebelas penumpang cedera, dua daripadanya
parah, selepas bas ekspres yang mereka naiki terbalik ketika dalam perjalanan
ke Alor Setar, Kedah di Kilometer 457.5 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan
Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP
Arjunaidi Mohamed berkata bas itu, yang membawa 28 penumpang dari terminal Pudu
Sentral di sini, terbabit dalam kemalangan itu ketika hujan lebat kira-kira 3
petang.
Beliau
berkata pemandu bas itu mendakwa kemalangan berlaku setelah dia cuba mengelak
sebuah lori yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
"Ketika mengelak, pemandu bas ekspres
itu gagal mengawal bas menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan kanan lalu
melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya sebelum terbalik di laluan paling
kiri," katanya ketika dihubungi.
Arjunaidi berkata bagaimanapun, beberapa
penumpang bas itu menyatakan pemandu berkenaan memandu dengan laju sebelum
kemalangan berlaku.
Beliau berkata semua penumpang yang cedera
dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala pemandu bas berusia 30
tahun itu ditahan untuk membantu siasatan, termasuk menjalani ujian air kencing
dan darah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta
Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan
kecederaan.
0 Komen