Apa yang terjadi di KUIN sehingga kakitangannya terpaksa
mengangkat sepanduk berdemonstrasi di hadapan pejabat Rektor di Alor Setar
semalam membuktikan bahawa Universiti itu sememangnya menghadapi masalah
besar.
Sebelum ini, kepimpinan PAS Kedah cuba menutup atau meremehkan
masalah yang sedang melanda KUIN tetapi ternyata bangkai gajah tidak boleh
ditutup selama-lamanya.
Ia mungkin remeh bagi kepimpinan negeri tetapi soal gaji tidak
dibayar adalah soal besar bagi rakyat marhaen kerana ia adalah soal kehidupan
seharian. Begitu juga jika gaji Menteri
Besar tidak dibayar, Menteri Besar juga pasti tidur dengan mata terbuka.
Masalah kakitangan KUIN ialah bukan sahaja gaji tidak dibayar
tetapi bayaran terus melalui potongan gaji juga tertunggak sehingga
berbulan-bulan walaupun potongan dibuat di dalam slip gaji. Ini pastinya akan dikenakan faedah dan silap
haribulan ada yang muflis. Soalnya, jika
ia tetap dipotong, ke manakah wang mereka pergi?
Mengikut kronologi, kakitangan KUIN telah pun berjumpa, berunding,
menulis surat, menghantar memorandum kepada pihak pengurusan, pihak Lembaga
Pengarah, Ahli Majlis Tertinggi KUIN serta Exco dan Menteri Besar Kedah melalui
beberapa siri sejak awal Mei lalu.
Namun, segala usaha mereka telah dipersetankan. Malah, wakil kakitangan, iaitu Mohamad Azki
Hafizi Ibrahim yang mengadakan pertemuan dengan Rektor KUIN, Prof. Datuk Dr.
Jamil Osman telah ditukarkan terus ke Kuala Ketil, mungkin sebagai ‘hukuman’
kerana mengkritik Rektor.
Bukankah ini kezaliman yang nyata?
Kerana tidak tahan dengan kezaliman yang berlaku, maka demonstrasi
yang diadakan oleh kakitangan KUIN semalam adalah bertujuan utama untuk
mendesak Rektor, iaitu Datuk Dr. Jamil meletak jawatan atau dipecat. Selain itu, kakitangan juga memohon agar hutang
mereka dilangsaikan.
Persoalan besar di sini ialah kenapakah sejak Mei sehingga
sekarang, setelah EXCO dan Menteri Besar sendiri maklum mengenai masalah ini,
masih tiada penyelesaian?
Jika EXCO dan MB juga tidak mahu ambil tahu, ke manakah lagi yang
perlu para kakitangan ini mengadu?
Kepada DYMM Sultan atau YDP Agong?
Atau Perdana Menteri dan Presiden UMNO?
Apakah lagi yang perlu mereka lakukan untuk memastikan nasib
mereka dibela oleh pengurusan KUIN dan kerajaan Negeri yang bertanggungjawab
terhadap Universiti ini? Merusuh seperti
peserta BERSIH?
Kita tidak faham apakah yang ditunggu oleh Menteri Besar sebelum
mengambil tindakan? Untuk menyatakan
yang beliau tidak tahu apa-apa tidak mungkin sama sekali, kerana wakil beliau
telah pun bertemu dengan kakitangan KUIN dan beliau sendiri telah menerima
memorandum dari kakitangan KUIN sejak awal krisis ini. Nampaknya, bukannya beliau tidak tahu apa-apa
tetapi beliau sekadar tidak tahu nak buat apa.
Inilah masalahnya apabila meletakkan seseorang bukan di tempat
yang hak. Menurut Islam, jika seseorang
itu diletakkan di tempat yang bukan haknya iaitu yang tidak layak baginya, maka
ia adalah satu ketidakadilan. Dan
ketidakadilan pasti membawa kepada kehancuran.
Sudah jelas kini bahawa Rektor KUIN itu adalah tidak berhak berada
di tempatnya, beliau tidak mampu mengurus KUIN dan telah bertindak zalim
sehingga kakitangan tidak sanggup lagi berada di bawahnya.
Lebih dari itu, Exco dan Menteri Besar Kedah juga adalah tidak
berhak berada di tempat mereka kerana mereka tidak mampu menjalankan tugas
mereka dengan baik untuk membela rakyat dan menjana pendapatan negeri sehingga
Universiti yang dibawah naungan negeri mengalami masalah kewangan sedemikian
buruk sekali.
Mengaku atau tidak, masalah sebegini tidak mungkin dibiarkan
berlarutan jika Kedah berada di bawah Barisan Nasional. Dan ini adalah hakikat, yang walaupun pahit
untuk ditelan oleh para penyokong PAS tegar, tetapi ia adalah kebenaran. Manusia yang tidak sanggup menerima kebenaran
adalah manusia yang sakit jiwanya
0 Komen