Kerajaan negeri Selangor perlu memberi penjelasan status tanah di
satu kawasan di Putra Perdana, Puchong yang didakwa akan dibangunkan sebagai
kawasan perindustrian walaupun pelan asalnya adalah untuk pembinaan kompleks
pendidikan.
Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin
Mohamed berkata, ada kawasan di tanah tersebut penting untuk tujuan pembinaan sekolah
rendah dan sekolah agama bagi penduduk kawasan Putra Perdana.
“Pelan asal pembangunan ini telah diubah baru-baru ini dan kami
mahukan penjelasan berhubung perkara ini.
“Pelan asal adalah membina kompleks pendidikan berdekatan tanah
tersebut,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tanah tersebut hari ini.
Beliau difahamkan, kerajaan Selangor juga telah membeli empat plot
tanah tersebut dari sebuah syarikat dengan harga RM87.7 juta walaupun 80
peratus tanah adalah di bawah air.
Mohd Zin turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri membazirkan
wang sehingga terlebih bayar sebanyak RM57 juta dari harga asal dan pada
pendapatnya, kesemua wang tersebut boleh digunakan untuk membina 2,500 unit
rumah mesra rakyat golongan miskin dan memerlukan.
“Apakah motif sebenar pembelian tanah dari syarikat tersebut
sehingga dinilaikan begitu tinggi untuk sebuah tasik yang perlu ditimbus
sekiranya ingin dimajukan?” katanya.
Sementara itu Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Taman Putra
Perdana Rushdan Mohamed berkata terdapat aduan kepadatan murid sekolah sehingga
melebihi kuota yang ditetapkan dan masalah ini boleh diatasi jika pembinaan
kompleks pendidikan diteruskan.
“Kami akan buat laporan polis dan bawa perkara ini untuk perhatian
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
0 Komen