Kepimpinan Kerajaan Selangor tidak harus menjadikan krisis
air yang melanda negeri itu sebagai modal politik ketika suasana pilihan raya semakin hampir
sehingga mengenepikan kepentingan rakyat.
Exco Wanita UMNO, Datuk Norhayati Tan Sri Onn, bekalan air
adalah keperluan utama dan perkara sebegini tidak harus dipolitikkan kerana
bukan sahaja akan menimbulkan kesulitan kepada rakyat malah boleh merencatkan
pembangunan di negeri berkenaan.
“Semakin hampir dengan pilihan raya, kerajaan
Selangor cuba menggunakan isu masalah
bekalan air sebagai modal politik mereka, dalam pada itu mereka turut menuding
jari kepada kerajaan pusat yang menjadi punca kepada kemelut itu.
“Kerajaan pusat tidak harus dipersalahkan dalam perkara
ini, kerana beberapa kajian yang telah dilakukan untuk mengatasi masalah
berkenanan termasuk cadangan pembinaan Projek Rawatan Air Langat 2.
“Tetapi sehingga kini kerajaan negeri berdolak-dalik berhubung
isu berkenaan sehingga tidak membenarkan projek berkenaan dilaksanakan, ini
semua adalah bermotifkan politik sehingga sanggup mengadaikan kepentingan
rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Selangor mengingatkan
kerajaan negeri supaya akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah supaya isu air tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat dan
pembangunan negeri itu.
“Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu
menghormati titah Sultan dan tidak menjadi masalah yang berlaku untuk
kepentingan politik kerana yang bakal menerima kesannya dalah rakyat kerana ia
adalah air adalah keperluan asas.
“Keadaan di Selangor semakin meruncing dan menimbulkan
keresahan kepada rakyat, perkara ini perlu diselesaikan segera dan jangan
dibiarkan berlarutan hanya disebebkan pemikiran sempit politik pembangkang yang
mempergunakan keperitan rakyat sebagai modal mereka,” katanya.
Menurutnya, isu air ini perlu diselesaikan dengan segera
dan duduk semeja dengan kerajaan pusat bagi mengatasi masalah berkenaan
bukannya menegakkan keegoaan yang akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
0 Komen